Kurang Harga di Mi Note 3 bermakna kurang kuasanya

Share Button

Memang ada 3 produk dilancarkan Xiaomi di China hari ini, tetapi hanya dua sahaja telefon pintar. Walaubagaimanapun, Presiden Xiaomi tidak menipu apabila mengatakan versi Mi 6 yang lebih besar akan diperkenalkan.

Ini kerana Mi Note 3 yang heboh diperkatakan beberapa hari ini, adalah jelmaan sebenar telefon pintar Mi 6, dalam badan dan skrin yang lebih besar. Rupa Mi Note 3 ini langsung tidak tumpah dengan Mi 6.

Dilancarkan bersama Mi MIX 2 di China hari ini, rupa luaran Mi Note 3 memang serupa tapi tidak sama dengan Mi 6. Di hadapan, ia memiliki pengimbas capjari yang turut bertindak sebagai butang Home. Di belakang pula, kamera berkembar bersama dwitona LED Flash terletak di sudut kiri atas. Ditambah lagi dengan badan yang melengkung di sisi.

Tetapi bila diteliti, dapat dilihat Mi Note 3 memiliki skrin lebih besar berukuran 5.5-inci dengan resolusi HD Penuh 1920×1080 sahaja. Bateri yang dimuatkan sebesar 3,500mAh yang menyokong pengecasan pantas Quick Charge 3.0 menggunakan sambungan USB-C.

Kuasa Mi Note 3 juga berbeza apabila Xiaomi meletakkan hanya pemproses Snapdragon 660 di dalamnya. Ini boleh meletakkan Mi Note 3 di dalam kelas pertengahan. RAM sebesar 6GB menjadi standard dengan storan sebanyak 64GB dan 128GB ditawarkan.

Kamera berkembar di belakang bertindak secara zum optikal. Lensa pertama 12MP memiliki lebar 27mm dan apertur f/1.8 manakala lensa kedua juga 12MP, berkuasa telefoto 52mm dengan apertur f/2.6. Kamera ini disokong autofokus PDAF, penstabil imej optikal 4 paksi, serta mod potret yang menawan.

Tetapi kekuatan Mi Note 3 boleh diletak pada kamera hadapannya. Ia menggunakan sensor 16MP bersama piksel besar 2-mikron. Untuk tangkapan swafoto, fungsi Adaptable AI Beautify membantu secara automatik mencantikkan lagi tangkapan gambar. Ia bukan sahaja mencerahkan kulit, malah boleh mengubah bentuk wajah.

Sistem keselamatan di Mi Note 3 tidak sahaja terdapat pada pengimbas capjari, malah ia juga mempunyai pengimbas muka untuk membuka kunci skrin. Satu kehilangan yang paling dirasai adalah ketiadaan port audio 3.5mm, tetapi ia digantikan dengan pembesar suara stereo.

Xiaomi menyatakan harga jualan Mi Note 3 bermula dari RMB2,499 (~RM1,608) bagi storan 64GB, RMB2,899 (~RM1,865) bagi storan 128GB dan warna hitam, serta RMB2,999 (~RM1,929) untuk storan 128GB dan warna biru.

Tahun lepas, Mi Note 2 dilancarkan pada bulan April berharga RMB2,799. Ia tiba di Malaysia tujuh bulan kemudian dengan harga RM2,499. Dengan penggunaan perkakas kelas pertengahan dan bateri lebih kecil, harapnya Mi Note 3 akan tiba di Malaysia lebih pantas dengan harga kurang dari RM2,000.

Apa komen anda?