Google mahu ambil alih HTC tidak menghairankan

Share Button

Google pernah memiliki Motorola Mobility suatu masa dahulu, dan kemudian menjualnya kepada Lenovo. Kini timbul pula ura-ura mengatakan Google mahu mengambil alih satu lagi syarikat pengeluar telefon pintar, iaitu HTC.

CNBC melaporkan, satu laman berita Taiwan menyatakan Google kini dalam peringkat terakhir pengambilalihan HTC. Google mungkin mengambilalih keseluruhan atau sebahagian darinya.

Walaupun laporan ini dilihat agak meragukan, CNBC merasakan ia tidak mustahil kerana HTC memiliki apa yang Google sangat perlukan. Pixel, telefon pintar terbaru Google dihasilkan oleh syarikat dari Taiwan ini.

Dengan prestasi merudum HTC dan keperluan Google untuk menyempurnakan integrasi perisian, kandungan, perkakas, rangkaian, awan dan kecerdasan buatan, pengambilalihan HTC dapat membantu Google mencapai matlamat ini. Apatah lagi, HTC memiliki pasukan pembangun realiti mayanya sendiri, yang menghasilkan HTC Vive.

HTC yang berhadapan kerugian berturut-turut selama 9 suku, berdepan dengan tekanan untuk mencapai keuntungan. Walaupun HTC U11 memulihkan sedikit kepercayaan pengguna, tetapi ia masih tidak dapat membantu kerana model-model sebelumnya tidak menarik perhatian ramai pengguna.

Buat masa ini, Google dan HTC masih tidak memberi maklum balas tentang perkara ini.

[SUMBER: CNBC]

Apa komen anda?