Google Belanja USD1.1 Bilion Ambil Alih Sebahagian HTC

Share Button

Semalam HTC menghentikan buat seketika urus niaga syarikat di pasaran saham. Ia dibuat untuk memberi laluan kepada pengumuman yang dibuat Google hari ini.

Google dan HTC hari ini mengumumkan satu kerjasama, di mana sebahagian petugas HTC akan menyertai Google dalam bahagian perkakas. Kebanyakan mereka ini adalah petugas yang terlibat menghasilkan telefon pintar Google Pixel.

Selain itu, Google juga akan mendapat akses kepada beberapa paten yang dimiliki HTC. Untuk kerjasama ini, HTC akan menerima wang tunai bernilai USD1.1 bilion daripada Google.

Di pihak HTC, mereka akan terus menghasilkan telefon pintar seperti biasa. HTC juga akan meneruskan penghasilan ekosistem VR mereka, di bawah jenama VIVE.

Langkah pengambilalihan syarikat sebegini, bukanlah yang pertama buat Google. 6 tahun lepas, mereka telah membeli Motorola Mobility yang menghasilkan telefon pintar Moto.

Tetapi pemilikan tersebut tidak lama, kerana Google menjualnya kepada Lenovo pada harga yang lebih rendah dari harga dibeli. Ada yang mengatakan, Google hanya mahu mendapatkan paten yang dimiliki Motorola.

[SUMBER : Google, HTC]

Apa komen anda?