Fungsi baru Apple Watch Series 3 kurang berguna di Malaysia

Share Button

Tim Cook memulakan pembentangan produk baru Apple dengan memperingati CEO Apple, Steve Jobs. Malah, acara hari ini diadakan buat pertama kalinya di Teater Steve Jobs, di bangunan Apple yang baru.

Kemudian, produk pertama pun diperkenalkan.

Tim Cook memperkenalkan jam pintar terbaru, Apple Watch Series 3. Generasi ketiga jam pintar Apple ini kini dilengkapi keupayaan membuat panggilan sendiri.

Ia bukan sahaja mengekalkan semua keupayaan sedia ada Apple Watch sebelum ini, malah ia juga mengekalkan reka bentuk yang sama nipis, sama saiz. Mungkin bosan tanpa perubahan luaran, tetapi ia masih hebat kerana boleh memuatkan antena dan sim, sambil mengekalkan dimensinya.

Apple Watch yang baru ini memiliki antena untuk capaian selular, dan ditambah sensor altimeter yang membolehkan pengesanan ketinggian dibuat. Seperti berapa banyak anak tangga telah didaki.

Memuatkan sim bersaiz nano merupakan satu masalah besar, kerana itu Apple menggunakan sim elektronik atau eSIM di dalam Apple Watch Series 3. Perkara ini mungkin sedikit sukar di Malaysia, kerana belum ada penyedia eSIM.

Satu lagi tambahan baru yang menarik, adalah kemampuan memainkan lagu terus dari Apple Watch. Dengan sambungan terus ke internet, jutaan lagu internet di Apple Music boleh dimainkan terus dari Apple Watch Series 3.

Kerana itu juga, hanya 9 buah negara akan mula menjual Apple Watch Series 3 selular tahun ini, seawal 22 September 2017.

Apple turut menghasilkan model tanpa keupayaan LTE, yang akan dijual di lebih banyak negara.

Apple juga mengumumkan kesemua jam pintar Apple Watch akan menerima kemaskini WatchOS 4 terbaru, di antaranya lebih banyak pilihan muka jam.

Lebih banyak tali jam juga akan disediakan, dengan kerjasama dari jenama terkenal seperti Nike dan Hermes.

Dengan ketibaan model baru, menjadikan model lama menerima penurunan harga. Apple Watch Series 1 akan dijual pada harga bermula USD399. Manakala Apple Watch Series 3 bermula dari USD329, dan model selular pula berharga dari USD399. Pengeluaran Apple Watch Series 2 akan dihentikan.

Kenali lebih lanjut jam pintar terbaru Apple ini di laman produk Apple Watch Series 3.

Trackbacks

  1. […] Apple Watch Series 3 diperkenalkan, Tim Cook dengan pantas membuat pengenalan tentang iPhone 8. Beberapa slaid awal […]

Apa komen anda?