Dua telefon baru Xiaomi ini berpotensi tiba di Malaysia

Share Button

Petang ini, Xiaomi di China akan melancarkan dua model telefon pintar baharu yang dilihat mempunyai potensi besar akan berada di pasaran antarabangsa. Seperti minggu lepas, Xiaomi Mi A1 yang dilancakan di India untuk pasaran antarabangsa, telah dilancarkan di China lebih awal dengan nama Mi 5X.

Beberapa status di media sosial rasmi Xiaomi memberikan beberapa petunjuk tentang produk yang akan dilancarkan ini. Satu perkara yang ditekankan adalah paparan Full Screen 2.0.

Jawapan kepada perkara ini agak mudah kerana jurucakap Xiaomi Global, Donovan Sung telah mendedahkan ianya adalah Mi MIX 2. Tahun lepas, Xaiomi melancarkan Mi MIX yang merupakan sebuah telefon pintar konsep yang dijadikan realiti dan dijual oleh Xiaomi.

Teknologi yang digunakan Mi MIX sangat berbeza dari telefon pintar biasa. Ia memiliki bezel sangat nipis, dengan kepadatan skrin memenuhi 91.3% muka hadapan serta nisbah 17:9. Ia juga tiada pembesar suara, sebaliknya menggunakan getaran akustik untuk menghantar bunyi. Sensor jaraknya pula menggunakan teknologi ultrasonik, sambil kamera hadapan diletakkan di bawah skrin.

Apakah kecanggihan yang akan dibawakan Mi MIX 2 pula?

Di samping Mi MIX 2, satu lagi telefon pintar yang akan dilancarkan oleh Xiaomi dikatakan adalah Mi Note 3. Tahun lepas, Xiaomi memperkenalkan Mi MIX bersama-sama Mi Note 2. Jadi ketibaan Mi Note 3 ini tidak menghairankan.

Masih belum ada sumber rasmi tentang Mi Note 3, tetapi satu laporan telah mendedahkan gambar tentang kotak jualan Mi Note 3 di China. Dari gambar tersebut, Mi Note 3 akan dibekalkan 6GB RAM, 128GB storan dalaman serta kuasa pemproses Snapdragon 660 sahaja.

Dua Mi Note sebelum ini memiliki kuasa tertinggi Snapdragon siri 8. Mungkin ini dapat membantu jualan, kerana Mi Note 2 dilancarkan tahun lepas berharga RM2,499 terlalu mahal untuk harga biasa peranti Xiaomi.

Selain dua telefon pintar ini, pengasas bersama Xiaomi serta Presiden, Li Bin memberitahu melalui weibo, Xiaomi turut akan memperkenalkan Mi 6 dengan skrin yang lebih besar.

Apakah tiga telefon pintar baru Xiaomi ini boleh dimasukkan di dalam senarai telefon pintar baru akan datang anda? Kita nantikan pengumuman rasminya dalam majlis pelancaran jam 2 petang ini.

Trackbacks

  1. […] di China hari ini, tetapi hanya dua sahaja telefon pintar. Walaubagaimanapun, Presiden Xiaomi tidak menipu apabila mengatakan versi Mi 6 yang lebih besar akan […]

Apa komen anda?