Celcom KidSafe boleh pantau internet di tahap rangkaian

Share Button

Keselamatan kanak-kanak kini tidak sahaja melibatkan perkara di luar rumah, tetapi juga di alam maya. Kerana itu, Celcom hari ini melancarkan kempen #parentsunite untuk memberi kesedaran dan membantu ibubapa menyediakan tapak permainan yang selamat di internet. Ia juga bertujuan menyahut saranan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) untuk menyediakan ruang internet yang lebih selamat untuk semua.

Jenayah siber yang melibatkan kanak-kanak kian meningkat saban hari. Antaranya adalah buli siber, kandungan yang tidak sesuai, penipuan dalam talian dan bermacam lagi.

Bagi menjayakan kempen ini, Celcom bergabung tenaga dengan Brainy Bunch International Islamic Montessori, Protect and Save the Children serta Wanita IKRAM Malaysia. Celcom turut mendapatkan bantuan pakar teknologi seperti Google dan UNICEF dalam kempen #parentsunite ini.

Untuk memantau pergerakan anak-anak dengan lebih meluas, Celcom bersama rakan teknologi Access Motion hari ini menawarkan servis kawalan ibubapa yang dipanggil KidSafe. Ia menapis penggunaan internet kanak-kanak melalui aplikasi mudah alih yang direka khas bagi rangkaian Celcom.

KidSafe boleh digunakan di peranti Android buat masa ini. Ibubapa boleh menetapkan kandungan yang boleh dilayari, masa penggunaan serta mengesan lokasi anak mereka. Ia berbeza dari aplikasi lain kerana penapisan dan pemantauan di KidSafe dibuat pada tahap rangkaian, bukan di peranti sahaja.

Kepada yang berminat melanggan servis KidSafe, ia ditawarkan pada kadar RM95.99 setahun, atau RM54.99 untuk 6 bulan dan RM9.99 bagi sebulan. Lebih banyak info tentang KidSafe boleh didapati dengan melayari laman web Celcom KidSafe.

Dalam majlis yang sama, Kartini, pengarah IM4U FM turut berkongsi tips keibubapaan di zaman siber. Selain keselamatan siber kanak-kanak, beliau juga menyarankan ibubapa untuk berinteraksi secara aktif bersama anak-anak.

Salah satu perkara berkaitan program ini adalah ikrar Celcom untuk menyediakan sambungan Wifi di 25 buah perpustakaan sekolah di seluruh Malaysia. Itupun jika tanda pagar #parentsunite dan #kidsafe boleh mencecah 100,000 setiap satu, serta 500,000 tontonan video #kidsafe di YouTube sebelum 31 Disember 2017.

Apa komen anda?