Butang Home Dikorbankan Demi Paparan Nirbingkai iPhone X

Share Button

Rekaan iPhone 8 tidak banyak berubah sejak 3 tahun lalu yang menyebabkan ramai yang menyoalkan Apple selaku pemacu inovasi dunia teknologi. Tapi Apple masih kekal berinovasi melalui iPhone X (baca: “iPhone Sepuluh”), sebuah telefon yang menerima rekaan yang radikal.

iPhone X, telefon nirbingkai sebesar 5.5″

Ia adalah jawapan Apple terhadap trend telefon nirbingkai yang semakin mendapat tempat dalam arus perdana masa kini. Bagi merealisasikan telefon nirbingkai itu, Apple terpaksa melakukan beberapa kompromi.

Sedang kebanyakkan pengeluar memindahkan butang Home yang turut berfungsi sebagai pengimbas cap jari, Apple lebih rela membuang terus butang itu. Ia menjadikan telefon ini sebagai iPhone pertama yang tiada butang Home fizikal dalam sejarah telefon itu.

Fungsi Touch ID diganti dengan Face ID

Butang Home digital, digunakan menggalas tugas tersebut. Ketiadaan Touch ID pula digantikan dengan Face ID. Ia sama seperti Face Unlock yang diguna pakai Android tetapi dikatkan Apple lebih canggih kerana ia dikawal selia oleh kecerdasan buatan.

Paparan adalah sesuatu yang paling ketara pada iPhone X. Ia menggunakan paparan Super Retina Display dengan resolusi 1125 x 2336 sebesar 5.8″. Ini kali pertama iPhone menggunakan paparan OLED. Pada bahagian dahi telefon, panel OLED terpaksa diberikan bentuk khas bagi menempatkan speaker, kamera depan, dan sejumlah sensor. Implementasi ini saling tak tumpah seperti Essential Ph-1.

Seperti dua iPhone 8 yang dilancarkan, iPhone X memiliki segalanya pada papan utamanya. Ia menerima cip A11 Bionic bersama-sama RAM 3GB.

Pada bahagian bateri, Apple memang tidak pernah memberikan perincian bateri. Tetapi mereka memakluman iPhone X tahan dua jam lebih lama berbanding iPhone 7. Selain itu, iPhone X juga mempunyai teknologi pengecasan wayarles, setelah sekian lama diminta penggunanya.

Tidak banyak perubahan yang boleh diharapkan pada bahagian kamera belakang iPhone X. Berbanding iPhone 7, kamera telefoto pada iPhone X kini adalah F2.4 berbanding F2.8. Spesifikasi yang lain adalah sama.

Sungguhpun begitu, oleh sebab cip yang nyata berkuasa, pengguna kini boleh merakam video 1080p pada kadar sepantas 240fps. Kamera depan pula kekal pada 7MP tetapi kini dikenali sebagai TrueDepth Camera.

iPhone X akan mula dijual bermula 3 November pada harga USD999 (RM4,202) untuk varian 64GB atau USD1,149 (RM4,833) untuk vaian 256GB.

Apa komen anda?