6 perkara tentang iPhone baru yang dijangka diumumkan Tim Cook

Share Button

Tengah malam ini, jam 1 pagi waktu Malaysia, Apple akan melancarkan model terbaru telefon pintar mereka. Apa yang membuatkan ia istimewa adalah kerana tahun ini mencatatkan tahun kesepuluh kelahiran iPhone.

Seperkara lagi, peminat iPhone sangat teruja menantikan rekabentuk iPhone baru kerana ia tidak mengalami perubahan sejak 3 model sebelum ini.

Jadi, apakah yang mungkin Tim Cooks perkenalkan kepada dunia malam nanti?

Hasil kajian di internet memberikan beberapa petunjuk penting yang kami rumuskan di bawah ini.


1. Tiga model iPhone akan diperkenalkan

Pada awalnya dikhabarkan model yang akan dilancarkan adalah iPhone 7s, iPhone 7 Plus dan iPhone 8. Tetapi khabar angin yang lebih kencang bertiup mengatakan tiga model yang akan diperkenalkan adalah iPhone X, iPhone 8 dan 8 Plus.

Kenapa X? Sudah pasti kerana ulangtahun ke-10 iPhone. iPhone X dijangka menjadi model utama dengan perkakas terbaik, manakala iPhone 8 dan 8 Plus merupakan penambahbaikan dari model iPhone 7.

Mungkin juga ia akan menerima nama yang lebih istimewa selain iPhone X.


2. Pengecas wayarles

Apple sememangnya lambat menampilkan teknologi baru di dalam iPhone, tetapi bila dilaksanakan ia sering menjadi ikutan. Samsung telah lama memuatkan pengecas wayarles sejak Galaxy S6 lagi dan diteruskan ke dalam Galaxy S7, S8 serta Note8.

Tetapi pengecas wayarles bukan bermakna ia tiada sentuhan langsung. Telefon pintar masih perlu bersentuhan, tetapi tidak lagi perlu mencucuk kabel ke dalam port pengecasan. Hanya letak dan tinggal.


3. Skrin penuh hujung-ke-hujung

Mengikut trend tahun ini, iPhone yang baru dilihat sangat pasti akan datang dengan skrin yang memenuhi ruang hadapan, dengan bezel yang sangat nipis.


4. Tiada butang fizikal Home

Sejak kemunculan pertama iPhone, butang Home adalah satu-satunya butang di hadapan iPhone. Tetapi dengan penggunaan skrin penuh di iPhone yang baru, butang fizikal yang sekian lama ada ini bakal dihapuskan. Apple benar-benar mahu menjadikan iPhone sebagai telefon pintar dengan nisbah skrin berbanding badan terbesar.

Jadi di manakah pengimbas capjari Touch ID? Ia mungkin masih di hadapan, diintegrasikan ke dalam skrin.


5. Kamera 3D dan pengecaman wajah

Jika pengimbas capjari tiada di hadapan, ia mungkin digantikan dengan sistem pengecaman wajah. Kamera hadapan iPhone yang baru ini dikatakan berkemampuan mengecam wajah secara 3 dimensi dan ia mungkin lebih mudah dan tepat digunakan berbanding pengimbas capjari.


6. Harga yang jauh lebih mahal

Walaupun harga iPhone di Malaysia dilihat semakin mahal dengan pengenalan model baru, sebenarnya harganya tidak banyak berubah di dalam Dolar Amerika. Tetapi model terbaru iPhone kali ini mungkin akan melompat jauh dari harga iPhone 7 sebelum ini. Mungkin mengikut jejak langkah Samsung dalam perbezaan harga Galaxy Note7 dan Note8.


Selain telefon pintar iPhone yang baru, Apple juga dijangka akan memperkenalkan beberapa lagi produk lain. Antara yang dikatakan akan membuat kemunculan malam ini adalah Apple Watch LTE, Apple TV 4K dan juga Airpods yang baru.

Anda juga boleh turut serta menonton secara langsung majlis pelancaran iPhone baru ini. Ia boleh ditonton menerusi laman web Apple tetapi hanya menggunakan peranti Apple seperti iPhone, iPad, Macbook dan lain-lain. Untuk komputer Windows 10, ia boleh ditonton hanya menggunakan pelayar Microsoft Edge.

Sama-samalah kita berjaga jam 1 pagi nanti untuk menontonnya.

[SUMBER: MacRumors, Forbes, Telegraph]

Trackbacks

  1. […] Ia mungkin dibuat kerana tidak banyak perubahan pada iPhone 8 berbanding iPhone 7. Malah kebanyakan khabar angin yang berlegar beberapa hari sebelum ini hampir tepat […]

Apa komen anda?