Tonton Netflix tanpa had untuk pelanggan TM tidak lama lagi

Share Button

Untunglah pelanggan Telekom Malaysia Berhad (TM). Tak lama lagi, mereka akan boleh menonton kandungan dari Netflix tanpa had.

Perkara ini diumumkan oleh Naib Presiden Eksekutif New Media TM, Jeremy Kung. TM selaku peneraju penghimpun kandungan (content aggregator champion) di Malaysia, membuktikan komitmen berterusan melalui kolaborasi dengan Netflix ini. TM akan mula menawarkan Netflix kepada pelanggannya, bermula Oktober 2017.

Netflix merupakan rangkaian televisyen Internet terkemuka di dunia yang menawarkan pelbagai pilihan kandungan hiburan termasuklah filem, dokumentari dan banyak lagi. Tetapi Netflix banyak menghasilkan kandungan sendiri yang dipanggil Netflix Original, dan telah memenangi banyak anugerah seperti House of Cards, The Crown dan Stranger Things.

Netflix boleh ditonton di pelbagai peranti

TM kini menyediakan akses internet berkelajuan tinggi yang dikuasakan oleh UniFi, bersama-sama dengan data mudah alih tanpa had menerusi webe. Dengan ini, pelanggan TM boleh menikmati kandungan hiburan Netflix pada pelbagai peranti tidak kira tempat, ketika di rumah, di luar rumah, di mana-mana sahaja dan pada bila-bila masa, tambah Jeremy.

Terdapat satu khabar angin yang bertiup sepoi-sepoi bahasa sebelum ini, mengatakan Netflix mungkin akan dimuatkan ke dalam kotak HyppTV, kerana ia berasaskan Android. Tetapi ini mungkin sukar untuk dilaksanakan. Paling mudah, adalah akaun Netflix percuma yang boleh digunakan di peranti mudah alih atau menerusi pelayar. Mungkin juga, TM akan menyediakan langganan Netflix yang lebih murah dari biasa.

Buat masa ini, TM hanya mengumumkan kerjasama mereka dengan Netflix sahaja. Maklumat lanjut berkenaan perkhidmatan ini akan diumumkan kelak menjelang Oktober 2017. Lebih banyak perkara berkaitan TM boleh dirujuk di laman web www.tm.com.my.

Apa komen anda?