TIPS elak kejutan bil internet semasa tunaikan Haji

Share Button

Panggilan haji, telah tiba lagi. Penerbangan pertama Tabung Haji yang membawa jemaah ke mekah telah pun berlepas minggu lepas. Dijangka penerbangan terakhir jemaah haji adalah sekitar 3 minggu lagi.

Di zaman internet ini, penggunaan internet sudah menjadi satu keperluan walaupun untuk memnunaikan haji. Cara yang paling mudah, adalah menggunakan talian Malaysia sedia ada dan mengaktifkan perayauan antarabangsa.

Tetapi jika tidak bersedia, perayauan antarabangsa ini boleh memberikan kejutan bil, dengan caj berganda yang tidak dijangka. Kerana itu, Forum Pengguna Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CFM) berkongsi beberapa tips perayauan antarabangsa yang boleh dijadikan panduan oleh jemaah haji semasa berada di sana.


TIPS 1: Rujuk Penyedia Perkhidmatan anda sebelum memulakan perjalanan ke luar negara

Ini adalah untuk memastikan anda mendapat maklumat yang tepat mengenai caj yang akan dikenakan. Anda tidak akan dikecualikan daripada membayar caj tersebut walaupun anda benar-benar tidak tahu.

TIPS 2: Buat salinan semua kenalan dan data penting dalam telefon anda sebelum meninggalkan Malaysia.

Ini adalah sebagai langkah keselamatan sekiranya anda kehilangan telefon ketika berada di sana. Anda juga boleh memuatnaik maklumat penting ini dan menyimpannya di dalam storan atas talian untuk capaian mudah dari mana sahaja.

TIPS 3: Elak gunakan dua kad sim dalam satu telefon bimbit

Anda tidak digalakkan menggunakan cara ini jika anda tidak biasa dengan Tetapan telefon yang perlu diubah. Gunakan telefon bimbit yang lain bagi setiap kad sim. Anda juga disarankan agar membawa telefon bimbit kedua bagi penggunaan kad sim tempatan untuk
menerima atau membuat panggilan penting ketika berada di Tanah Suci. Manakala telefon pintar anda boleh digunakan untuk sambungan Wi-Fi sahaja.

TIPS 4: Beli kad sim antarabangsa yang dijual di Malaysia melalui dalam talian atau di lapangan terbang

Terdapat kad sim antarabangsa yang dijual di Malaysia yang mungkin mempunyai pakej yang dapat memenuhi keperluan anda selain dapat mengurangkan kerumitan anda untuk mendaftar kad sim semasa di luar negara.

TIPS 5: Dapatkan kad sim tempatan sebaik tiba di Arab Saudi sebagai alternatif untuk mendapatkan pilihan yang lebih murah

Lakukan sedikit kajian mengenai pelan yang disediakan di sana, dan pilih pakej kad sim yang terbaik serta sesuai dengan penggunaan anda sepanjang berada di sana.

TIPS 6: Nyahaktifkan “Sambungan Automatik ke Rangkaian”

Kebanyakan penyedia perkhidmatan di Malaysia mempunyai rakan perayauan antarabangsa di semua negara yang anda lawati dan biasanya mereka menyediakan pakej khas kadar rata bagi panggilan suara dan data apabila anda disambungkan kepada mereka. Nyahaktifkan “SAMBUNGAN AUTOMATIK KE RANGKAIAN” dan pastikan anda sentiasa disambungkan kepada rakan perayauan penyedia perkhidmatan anda untuk menikmati pakej khas ini.

TIPS 7: Tukar mod “Airplane” atau “Kapal Terbang” dan gunakan Wi-Fi

Jika anda ingin terus berhubung hanya menggunakan Wi-Fi, anda boleh memilih untuk menukar mod telefon pintar anda ke mod “AIRPLANE” atau “KAPAL TERBANG” dan gunakan Wi-Fi awam yang anda boleh dapati di sana.

TIPS 8: Gunakan aplikasi seperti WhatsApp ketika menerima panggilan semasa berada di luar negara

Jika anda hanya mahu menerima panggilan dan SMS semasa berada di luar negara, anda boleh memilih untuk menggunakan aplikasi seperti “WhatsApp Call/Video Call” dan gunakan Wi-Fi sahaja.


Mengikut rekod CFM, terdapat peningkatan ketara setiap tahun bagi jumlah aduan mengenai perayauan antarabangsa. Tetapi tahun ini aduan tentang perayauan data turun mendadak. Ia mungkin disumbang oleh pelan perayauan data yang semakin murah dan mudah digunakan.

Ingat, jika pengguna ada sebarang masalah yang tidak diselesaikan oleh syarikat telekomunikasi, pengguna boleh menghubungi talian bebas tol CFM 1-800-18-2222, emel ke aduan@cfm.org.my atau layari laman web www.complaint.cfm.org.my.

Apa komen anda?