Tempah teksi PICKnGO lebih mudah dari Grab dan Uber

Share Button

Untuk membuka lebih banyak peluang kepada pemandu teksi dalam dunia pengangkutan yang semakin kompetitif, lima syarikat teksi bergabung untuk menghasilkan aplikasi mudah alih PICKnGO. Membuat tempahan teksi akan menjadi lebih mudah dan selamat dengan menggunakan PICKnGO.

Pengarah Eksekutif Pick N Go Sdn Bhd, Valerie Chan mengatakan, aplikasi ini dihasilkan sebagai perkembangan semulajadi untuk syarikat teksi dalam menongkah arus pemodenan dan digital serta perubahan lanskap perniagaan.

YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri (2 dari kiri) melancarkan PICKnGO

PICKnGO dilancarkan hari ini secara rasmi oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri. Beliau yakin aplikasi ini sangat berguna apatah lagi selepas kerajaan mengumumkan untuk membenarkan aplikasi khidmat tempahan pengangkutan beroperasi di Malaysia.

Ini adalah masa yang tepat untuk pemandu teksi menerima pakai perubahan dalam bentuk servis dan pengalaman pengguna, lebih-lebih lagi dalam pasaran yang semakin mencabar hari ini. Kelima-lima syarikat juga bersetuju, aplikasi ini bukan sahaja direka untuk menguntungkan pemandu sahaja, malah perlu mengambil kira kebimbangan penumpang terhadap penyedia khidmat tempahan pengangkutan yang kian membimbangkan akhir-akhir ini.

Paling utama adalah aspek keselamatan. Kerana itu, aplikasi PICKnGO telah tersedia dengan butang SOS. Malah, penumpang juga boleh mengetahui maklumat peribadi pemandu serta melihat pemanduan mereka di dalam peta interaktif. Kenderaan juga sentiasa di periksa serta dilindungi insuran oleh syarikat teksi yang terlibat.

Pemandu PICKnGO beruniform

PICKnGO juga hanya memilih pemandu yang telah disemak latar belakangnya, dan menerima latihan dari pemandu profesional untuk memberikan mutu servis yang lebih baik. Pemandu akan sentiasa kelihatan segak dengan uniform PICKnGO, malah kenderaan juga dipastikan berada di dalam keadaan yang memuaskan.

PICKnGO turut bekerjasama dengan MPAY, yang menyediakan khidmat pembayaran tanpa tunai melalui kad kredit dan debit di dalam aplikasi. Lebih baik lagi, pemandu akan membawa bersama pos terminal MPAY +PRO, yang membolehkan pembayaran melalui kad kredit/debit dibuat di dalam teksi.

Walaupun baru dilancarkan hari ini, PICknGO telah pun membuat ujian terbuka selama 3 bulan sebelum ini. Sehingga beberapa hari lepas, sebanyak 1,500 penumpang telah menggunakan khidmat PICKnGo.

Antaramuka aplikasi PICKnGO bersama kupon RM5

Sebagai promosi awal, pengguna PICKnGO akan menerima kupon RM10 untuk menggunakan aplikasi ini. Kalau hendak mencuba, sekarang adalah masa yang terbaik. Aplikasi PICKnGO ini boleh dimuat turun di Apple Appstore dan Google Playstore.

Lima syarikat teksi yang turut sama dalam pembangunan PICKnGO adalah New Supercab Sdn Bhd, Uptownace (M) Sdn Bhd, Damai Kota Cab Sdn Bhd, Syarikat Pemilik dan Pemandu Teksi Bhd dan Perniagaan Lima Sejati Sdn Bhd. Mereka disokong oleh rakan niaga seperti Manage Pay Systems Berhad, Bank Islam Malaysia Berhad, Mastercard, Mapking (M) Snd Bhd, Proton Edar Sdn Bhd, My Debit, PTT Lubricants, Metretech Sdn Bhd, Sunway Velocity Mall serta jenama barangan di rumah iaitu Naturel dan Antabax.

Apa komen anda?