Tag RFID lancarkan perjalanan trafik di Plaza Tol

Share Button

Jika Touch n Go perlukan 6 saat, dan Smart Tag pula 3 saat untuk melengkapkan pembayaran di plaza tol, teknologi Pengenalan Frekuensi Radio atau RFID pula boleh dikatakan menggunakan kurang dari 1 saat. Ini kerana pemandu tidak perlu berhenti langsung di plaza tol untuk membuat bayaran.

Sistem RFID di plaza tol kini sedang diuji di beberapa buah plaza tol, dan dijangka boleh mula digunakan orang ramai bermula Januari 2018, menurut kenyataan Datuk Ismail Md Salleh, Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).

Datuk Ismail memegang tag RFID (sumber TheStar)

Beliau bercakap kepada wartawan di majlis pelancaran Kutipan Tol Elektronik (ETC) di Plaza Tol Karak. Bermula 14 Ogos 2017, semua plaza tol di Malaysia tidak lagi menerima tunai, hanya menggunakan ETC untuk pembayaran seperti Touch n Go dan SmartTag.

Penggunaan sistem RFID amat mudah. Ia berfungsi seperti sistem ERP di Singapura. Pengguna hanya perlu mendapatkan pelekat tag RFID, dan pengimbas di plaza tol akan membuat imbasan seperti pengimbas barkod kepada tag RFID tersebut.

Rupa pelekat tag RFID (sumber Sin Chew Daily)

Tag ini akan diimbas menggunakan gelombang elektromagnetik dalam frekuensi antara 850MHz ke 950MHz. Imbasan pula boleh dibuat dari sejauh 27 meter dengan masa respon hanya 10 milisaat.

Buat masa ini, ujian RFID ini diberikan kepada kenderaan yang digunakan oleh polis, bomba dan ambulan. Manakala lorong RFID pula akan dikongsi bersama laluan SmartTag, terdapat di 8 plaza tol di Lembah Klang.

Teknologi RFID di plaza tol ini bakal menggantikan penggunaan Touch n Go dan SmartTag, tetapi ia akan mengambil sedikit masa. Ia dijangka akan dilaksanakan sepenuhnya pada tahun 2020, bersama Aliran Bebas Berbilang Laluan (MLFF) memastikan trafik lebih lancar di plaza tol.

[SUMBER: TheStar, PaulTan]

Apa komen anda?