Selepas 5 Tahun, Trafik Internet Malaysia Banyak Berubah

Share Button

Persatuan Pengendali Internet Malaysia (MyIX) hari ini melaporkan bahawa Malaysia mengalami pertumbuhan trafik Internet mendadak iaitu 1200% berbanding tahun 2012.

Menurut data statistik daripada MyIX, purata nilai puncak aliran data bulanan yang melalui perkhidmatan MyIX adalah 222.4 Gbps jika dibangingkan hanya 16.4 Gbps pada tahun 2012.

Pertumbuhan ini dijana oleh aktiviti penstriman audio/video yang tinggi serta aktiviti media sosial yang rancak. Ia secara langsung mempamerkan pertumbuhan pesat landskap Internet negara. Untuk pengguna, ia adalah satu berita yang baik untuk beberapa sebab.

Yang pertama adalah kos Internet dapat dikurangkan kerana aliran data dalam negara lebih murah berbanding jika menggunakan prasarana luar. Buktinya, semakin banyak telco memberikan data percuma dan pakej tanpa had kepada penggunanya untuk memupuk penggunaan Internet.

Selain itu, kualiti jalur lebar turut dipertingkat kerana kandungan berada dalam negara lebih mudah dan pantas diakses.

MyIX adalah sebuah organisasi hasil inisiatif SKMM untuk mengawal selia Internet exchange negara. Ia ditubuhkan pada 2006 dengan bantuan semua penyedia perkhidmatan (ISP).

 

Apa komen anda?