Papan kekunci mekanikal berlampu unik di laptop ILLEGEAR RAVEN

Share Button

Laptop kelas pertengahan pun dapat merasa papan kekunci mekanikal, apabila ILLEGEAR melancarkan RAVEN, model terbaru mereka menggantikan barisan Q5 EVO. RAVEN juga adalah laptop gaming bertahap permulaan, menggunakan pemproses dan kad grafik yang berkuasa.

Dengan harga bermula dari RM4,099, RAVEN boleh dimuatkan dengan pemproses Intel Core i5-7300HQ bersama kad grafik NVIDIA GeForce GTX1050 4GB GDDR5. Ini mencukupi untuk menggerakkan semua tajuk permainan terkini dengan tetapan kualiti yang agak memuaskan.

Selain harga yang menarik, ILLEGEAR juga menaik taraf RAVEN hampir semua aspek berbanding Q5 EVO. RAVEN kini 4mm lebih nipis, 300 gram lebih ringan malah dengan saiz badan yang lebih kecil. Tetapi, ia dimuatkan dengan kapasiti bateri yang 23% lebih besar, bersama kuasa bunyi tambahan, subwoofer berkuasa 3-watt.

Laptop ini memiliki paparan IPS berukuran 15.6-inci HD Penuh. Ia boleh diisi sehingga 32GB RAM DDR4 dalam dua slot, serta storan hingga 4TB melalui 2 slot SSD M.2 dan 1 slot SATA HDD 2.5-inci.

Perkara paling menarik di RAVEN adalah papan kekunci mekanikal bersaiz penuh ciptaan ILLEGEAR sendiri. Malah, semua kekunci ini memiliki lampu belakang RGB yang boleh diubahsuai warnanya.

Untuk sambungan luar, ia dibina bersama port HDMI x1, USB 2.0 x2, USB 3.0 x2, USB-C 3.1 x1, Gigabit LAN x1, fonkepala dan mikrofon. Kesemua port ini terletak di belakang laptop, kecuali dua port audio. Ia juga disertakan pembaca kad memori 4-dalam-1.

Semua laptop ILLEGEAR dibina atas tempahan, maka pelbagai spesifikasi boleh ditetapkan sebelum tempahan akhir dibuat. Antara pilihan perkakas dan harga yang disediakan ILLEGEAR untuk model RAVEN ini adalah:

  • Core i5-7300HQ + GTX1050 + 8GB DDR4 + 1TB HDD = RM4,099
  • Core i7-7700HQ + GTX1050 + 8GB DDR4 + 1TB HDD = RM4,498
  • Core i5-7300HQ + GTX1050Ti + 8GB DDR4 + 1TB HDD = RM4,398
  • Core i7-7700HQ + GTX1050Ti + 8GB DDR4 + 1TB HDD = RM4,797

Untuk lebih banyak pilihan, semak di laman jualan ILLEGEAR RAVEN. Maklumat lanjut tentang laptop ini pula boleh didapati di laman produk ILLEGEAR RAVEN.

Apa komen anda?