OPPO R9s lebih mesra alam dengan warna hijau

Share Button

Masih belum ada khabar tentang OPPO R11 akan tiba di Malaysia, tetapi OPPO Malaysia tidak membiarkan peminat menunggu kosong. OPPO R9s yang pertama kali dilancarkan pada awal tahun ini di Malaysia, menerima pilihan warna baru Greenery. Atau warna hijau.

Macam pernah dengar? Greenery adalah warna pilihan 2017 oleh Pantone, di mana ia telah digunakan Huawei untuk menghiasi telefon pintar Huawei P10 dan P10 Plus mereka. Nampaknya, OPPO turut tidak mahu melepaskan peluang untuk menggunakan warna yang hampir sama ini.

Warna hijau pada OPPO R9s adalah sesuatu yang serba baru, nampak segar dan bertenaga. Sebelum ini, OPPO R9s telah sedia dengan pilihan warna Emas, Emas Ros, Hitam serta warna Merah edisi terhad Min Chen.

Walaupun usianya sudah mencecah tujuh bulan di Malaysia, OPPO R9s masih lagi sebuah telefon pintar yang berkuasa tinggi. Ia memiliki cip Snapdragon 625 yang cekap tenaga dan tahan lama, bersama 4GB RAM dan 64GB storan.

OPPO R9s mempunyai skrin AMOLED 5.5-inci HD Penuh, dengan kaca Corning Gorilla Glass 5 di atasnya. Bateri 3,010mAh di dalamnya bukan sahaja tahan lebih lama, malah ia boleh dicas sangat pantas kerana menyokong pengecasan VOOC.

Tarikan utama OPPO R9s pastinya adalah pada kamera. Kamera depan OPPO yang terkenal, menggunakan sensor 16MP untuk tangkapan swafoto. Kamera belakangnya juga sama hebat, dilengkapi sensor 16MP f/1.7 bersama autofokus dwi-PDAF yang sangat pantas.

OPPO Malaysia menyatakan edisi hijau OPPO R9s akan mula dijual di Malaysia pada pertengahan bulan Ogos. Harganya masih belum dinyatakan, tetapi jika ia sama dengan warna sedia ada, harganya adalah RM1,798.

Kalau tertarik dengan warna hijau yang menghijau ini, jangan lupa tunggu pengumuman OPPO Malaysia pada tengah bulan Ogos ini.

Harga OPPO R9s di Stor Online OPPO

Apa komen anda?