MULA beri khidmat tempahan pengangkutan di Pulau Pinang

Share Button

Diam tak diam, muncul satu lagi penyedia khidmat tempahan pengangkutan di Malaysia. Dikenali sebagai MULA, ia telah mula beroperasi sejak bulan Mac tahun ini dan hanya terdapat di Pulau Pinang. Modus operandinya pula nampak lebih meyakinkan berbanding Grab dan Uber.

Berbanding menggunakan kereta sendiri, MULA dilihat menyediakan barisan kenderaan yang serba baru. Malah, pemandunya juga perlu menjalani latihan selama seminggu sebelum boleh mula memandu MULA.

MULA bukan sahaja menyediakan perkhidmatan tempahan atas permintaan, malah boleh ditempah lebih awal atau ditempah mengikut jam. Pilihan kenderaan juga pelbagai, dari kenderaan biasa dan premium untuk 4 orang, sehingga ke MPV yang boleh memuatkan 10 orang.

Promosi dan kempen MULA kini dapat dilihat di pelbagai pusat membeli-belah di sekitar Pulau Pinang. Antaranya pameran jelajah yang memberi lebih penerangan kepada orang ramai, serta papan tanda berlogo MULA untuk mengambil dan menurunkan penumpang di bangunan.

Tetapi terdapat satu fakta menarik tentang MULA. TheStar melaporkan, salah satu pelabur utama MULA adalah syarikat MBI Group yang hangat diperkatakan beberapa bulan lepas, kerana masalah dalam bentuk perniagaan yang dijalankan. MBI Group juga termasuk di dalam senarai berjaga-jaga oleh Bank Negara Malaysia kerana tidak mematuhi undang-undang dalam operasinya.

Sebagai pengguna, servis MULA dilihat sebagai alternatif yang memberi lebih pilihan kepada pengguna berbanding Grab dan Uber. Persaingan yang sihat akan sentiasa menguntungkan pengguna.

Lebih banyak maklumat tentang perkhidmatan ini boleh didapati di laman web www.mula2u.com dan Facebook MULA.

Apa komen anda?