Link yang dikongsi kawan pun tak boleh percaya sekarang

Share Button

Ada tak baru-baru ini anda menerima mesej peribadi (PM) dari Facebook kawan anda, yang menghantar pautan video? Jika ya, jangan terus klik pautan tersebut, kerana ia berkemungkinan besar adalah malware yang kini sedang merebak di dalam Facebook.

Malware ini bertindak dengan mudah. Ia menyebarkan mesej peribadi berisi video beserta nama anda, dan satu pautan bit.ly. Apabila diklik, ia akan membawa ke laman Google Doc, merakam isi kandungan Facebook mangsa, kemudian membawa ke sebuah laman web memaparkan sebuah video palsu.

Laman web Google Doc memaparkan video palsu

Apabila mangsa cuba memainkan video tersebut, malware ini akan membawa ke pelbagai laman web yang akan mengumpul maklumat pelayar, sistem operasi dan lain-lain maklumat penting. Ia kemudiannya akan membawa ke laman web lain, bergantung kepada sistem operasi peranti mangsa.

Menurut laporan Kaspersky, malware dalam bentuk sebegini bukanlah perkara baru. Malah setelah diteliti, ia tidak membawa kerosakan kepada peranti mangsa. Tetapi, ia dilihat berjaya mengumpulkan pelbagai data dan maklumat dari Facebook mangsa dan mungkin telah menerima wang yang banyak dalam bentuk iklan.

kod di dalam malware, berubah mengikut jenis pelayar dan OS

Ini sekali lagi wajar menjadi peringatan dan pengajaran buat pengguna, jangan sesekali klik pautan yang tidak diketahui, walaupun dari rakan anda sendiri. Cuba semak semula dengan rakan, adakah benar mereka berkongsi pautan tersebut.

Mencegah lebih baik dari mengubati. Jangan sampai tragedi wannacrypt berulang, di mana data penting anda menjadi mangsa tebusan. Seperti malware ini, ia tidak mengira anda pengguna Windows atau MacOS. Semuanya akan diserang sama.

[SUMBER: Securelist]

Apa komen anda?