Huawei Mate 10 mahu atasi Apple iPhone

Share Button

Huawei Mate 10, sebuah phablet berkuasa tinggi dari Huawei bakal dilancarkan tidak lama lagi. Perkara ini disahkan menerusi satu gambaran yang dikongsi, di mana tarikh pelancaran ditetapkan pada 16 Oktober 2017, bertempat di Munich, Jerman.

Dengan tagline, Bertemu dengan peranti yang berbaloi ditunggu, Huawei Mate 10 dijangka memberi saingan hebat kepada peranti bersaiz besar yang lain seperti Apple iPhone 7 Plus, atau Samsung Galaxy Note8 yang akan dilancar minggu ini.

Dalam satu temuramah dengan Bloomberg, Richard Yu, Ketua Bahagian Pengguna Huawei berkongsi tentang apa yang akan datang di Mate 10 nanti. Menurut beliau, Mate 10 akan memiliki bateri yang bertahan lebih lama, dengan paparan skrin penuh.

Mate 10 juga akan disertakan pengecasan yang lebih pantas serta kebolehan fotografi yang lebih baik. Pendek kata, ia memiliki pelbagai fungsi yang mampu menyaingi produk Apple. Apple dijangka akan melancarkan telefon pintar iPhone yang baru sekitar bulan September nanti.

Gambaran Mate 10 yang tersebar di Weibo

Dari kenyataan Richard Yu ini, boleh kita jangkakan Mate 10 akan mengekalkan kerjasama dengan Leica dalam aspek kamera, seperti gabungan lensa monokrom dan RGB di belakang. Prestasi yang lebih hebat pastinya dengan penggunaan pemproses yang lebih berkuasa.

Selain itu, Mate 10 mungkin tampil dengan skrin tanpa bezel di tepi. Pengimbas capjari pula akan terletak di belakang, bagi memberi lebih ruang kepada skrin tanpa bezel, seperti yang terdapat di Galaxy S8.

Satu perkara yang masih samar, berapa banyak model Mate 10 yang akan diperkenal? Kerana pada Mate 9 tahun lalu, Huawei menampilkan 3 model iaitu Mate 9, Mate 9 Pro dan paling hebat sekali, Mate 9 Porsche Design. Adakah Huawei akan meneruskan kerjasama dengan Porsche pada Mate 10 kali ini?

Kita nantikan pengumuman selanjutnya tentang Huawei Mate 10 kelak. Sementara tu, apakah yang anda jangka atau harapkan pada Huawei Mate 10 ini?

Apa komen anda?