Uber & Gabungan bentuk ikatan UberTaxi

Share Button

Uber sememangnya popular sebagai servis alternatif kepada teksi. Tetapi tidak lama lagi, Uber mahu menyediakan servis teksi di dalam aplikasi mereka.

Perkara ini direalisasikan menerusi satu perjanjian persefahaman (MOU), yang baru ditandatangani oleh Uber bersama  Gabungan Persatuan dan Syarikat-Syarikat Teksi Semenanjung Malaysia (Gabungan). MOU ini akan membolehkan pemandu Gabungan menyertai rangkaian Uber menggunakan teksi mereka.

Pengarah Uber Malaysia & Singapura, Warren Tseng yakin kerjasama ini memberi lebih ruang kepada pengguna untuk memilih servis yang mereka yakini. Ia juga selaras dengan keinginan kerajaan yang mahu memperbaiki pengangkutan awam. Uber memainkan peranan sebagai penyedia khidmat berkualiti untuk pengguna dan rakan pemandu.

SM Shalahuddin (kiri) & Warren Tseng (kanan)

Presiden Gabungan, Yg. Bhg. Dato Hj SM Shalahuddin SM Amin percaya pemandu teksi akan menerima manfaat melalui teknologi yang disediakan Uber, yang memadankan penumpang dan teksi. Ia akan memberi lebih pendapatan berbanding membuang masa untuk menunggu.

Dijangka 500 pemandu teksi di bawah Gabungan akan menyertai platform Uber. Tetapi mereka perlu memenuhi beberapa syarat Uber seperti lulus pemeriksaan latarbelakang, memiliki lesen memandu & insuran yang sah, serta kenderaan berusia tidak lebih dari 5 tahun.

Semua jenis kenderaan akan diterima termasuk MPV, dengan struktur harga dan mekanik mengikut model UberX. Pemandu teksi Gabungan juga boleh terus mengambil penumpang di jalanan, apabila tidak mengaktifkan aplikasi Uber.

Pengguna akan melihat pilihan baru, UberTaxi di dalam aplikasi Uber tidak lama lagi. Pembayaran boleh dibuat secara tunai atau kad kredit/debit. Sokongan pengguna dan sistem rating juga terdapat di dalam UberTaxi.

Apa komen anda?