Senang nak pantau trafik KL guna DBKL eDrive

Share Button

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kini sedang menguji sebuah aplikasi yang berhubung dengan Sistem Maklumat Pengangkutan Bersepadu (ITIS), agar pengguna jalanraya boleh memeriksa keadaan trafik jalan seterusnya membuat pelan perjalanan yang sesuai, menurut satu laporan oleh TheStar.

Aplikasi tersebut dinamakan eDrive, dan boleh dimuat turun menerusi Apple Appstore dan Google Playstore. Ia akan dibuka untuk ujian orang ramai diuji selama dua bulan.

Aplikasi eDrive ini menampilkan pelbagai maklumat berguna untuk pengguna jalanraya di Kuala Lumpur. Antaranya ialah imej-imej terkini dari rakaman CCTV di jalan-jalan utama, di mana pengguna boleh melihat samada jalan tersebut sesak atau lancar sebelum keluar dari rumah atau pejabat. Imej CCTV ini akan dikemaskini setiap 3 minit.

Selain itu, ia turut dihubungkan dengan sistem parkir di 14 pusat membeli-belah di Kuala Lumpur antaranya Suria KLCC, Pavilion Kuala Lumpur, Plaza Low Yat dan Maju Junction.

Untuk menggunakan aplikasi ini, pengguna perlu terlebih dahulu mendaftar menggunakan emel dan nombor telefon. Satu nombor pin akan dihantar menerusi SMS sebelum aplikasi boleh diaktifkan dan mula digunakan.

Di aplikasi ini juga pengguna boleh membuat aduan seperti kerosakan lampu trafik, lubang di jalan, kemalangan ataupun banjir kilat.

Jurucakap DBKL yang ditemuramah oleh TheStar memaklumkan, aplikasi eDrive dibangunkan dengan kos berjumlah RM2.9 juta dan mengambil masa selama setahun untuk disiapkan. Bagi penyelenggaraan ITIS pula seperti sewaan kamera dan CCTV, ia memakan belanja sebanyak RM198 juta selama 6 tahun menerusi kontraktor yang dilantik, VADS Lyfe (sebelum ini dikenali sebagai GTC Global Sdn Bhd, sebuah anak syarikat Telekom Malaysia Berhad).

Bagi yang tidak mengenali, ITIS merupakan sebuah sistem pamantauan trafik di Kuala Lumpur, merangkumi 140 VMS (Papan Maklumat Elektronik) dan 1,000 CCTV meliputi 200km jalan.

Terima kasih Che Mat atas makluman  😎

[SUMBER: TheStar]

Apa komen anda?