Prabayar baru Mcalls Y33 lancar konsert Kpop khas untuk pelanggan

Share Button

Pavo Communications (PAVOCOMMS), satu lagi penyedia rangkaian telekomunikasi maya (MVNO) hari ini melancarkan produk baru, pek sim prabayar MCalls Y33 bersama aplikasi pembayaran digital MMspot. Nama PAVOCOMMS bukanlah baru di Malaysia, kerana sebelum ini mereka telah melancarkan pek prabayar speakOUT yang menyediakan 100GB data untuk pelancong di Malaysia.

Bersama pelancaran ini, PAVOCOMSS turut merasmikan pembukaan Stor Pengalaman Gaya Hidup Digital pertama mereka. Ia terletak di pusat membeli-belah Sunway Pyramid, beralamat LG2.141 Orange Atrium. Stor ini bertindak sebagai pusat khidmat pelanggan, yang turut menyediakan pengalaman membeli-belah serba baru.

PAVOCOMMS juga kini mengadakan pameran jelajah di Sunway Pyramid, untuk memberi peluang kepada orang ramai mencuba sendiri dan mengetahui dengan lebih lanjut tentang Mcalls dan pek sim Y33. Pameran ini diadakan bermula hari ini, 13 Julai sehingga 16 Julai 2017. Orang ramai boleh mengunjung pameran ini yang terletak di ruang Orange Atrium, berhadapan Stor Pengalaman Gaya Hidup Digital Mcalls.

Pelan Prabayar Mcalls Y33

Pek prabayar Y33 adalah pakej semua dalam satu. Dengan kadar RM30 sebulan, pengguna akan menerima 5GB data berkelajuan tinggi, 33 minit panggilan dan 33 SMS ke semua rangkaian tempatan. Mcalls menggunakan rangkaian sama seperti speakOUT, bermakna ia menumpang rangkaian Digi. Pengguna Mcalls boleh menikmati liputan sebaik Digi.

Pek permulaan Y33 turut akan memberikan pengguna kredit RM2 serta 6 mata M-airtime untuk membeli-belah menerusi aplikasi ganjaran MMspot. Untuk penggunaan tambahan, panggilan akan dicaj 15sen setiap 30 saat atau 30sen seminit dan 20sen setiap SMS. Data tambahan pula dicaj RM5 bagi 200MB penggunaan selama 3 hari, atau RM25 untuk 1GB data bagi kegunaan 30 hari.

Aplikasi Pembayaran Digital MMspot

Perkara unik bagi penggunaan Mcalls adalah platform MMspot. Ia sebenarnya merupakan sejenis dompet digital, yang membolehkan pengguna menggunakan telefon pintar untuk membuat pembelian di kedai terpilih atau membayar bil. MMspot dikatakan memiliki 2,000 rakan niaga yang menerima pembayaran menerusi MMspot.

Perlu difahami, MMspot bukanlah sejenis platform ganjaran, sebaliknya pengguna perlu menambah nilai dompet digital mereka menerusi kad kredit atau pemindahan perbankan. Dari dompet digital ini, barulah pengguna boleh membuat pembelian atau membayar bil. Pembelian di kedai boleh dibuat semudah mengimbas kod QR produk. Semua maklumat tentang pek prabayar Mcalls, pelan Y33 dan aplikasi MMspot boleh didapati di laman web https://mcalls.asia/

Konsert Mcalls K-Wave Music Festival

Bagi menarik lebih ramai pelanggan baru, Mcalls akan mengadakan konsert khas yang menampilkan artis popular Kpop dari Korea Selatan. Konsert ini hanya boleh disertai oleh pengguna Mcalls sahaja, tetapi mereka yang membeli tiket konsert akan turut menerima pek permulaan Mcalls Y33.

Konsert yang dinamakan Mcalls K-Wave Music Festival ini akan diadakan pada 5 Ogos 2017, bermula jam 8 malam di Surf Beach, Sunway Lagoon. Kumpulan Kpop yang akan tampil di konsert ini adalah APINK, HIGHLIGHT, BTOB, B1A4, TEENTOP dan VICTON. Maklumat lanjut berkaitan pembelian tiket dan lain-lain info boleh didapati di laman web K-Wave Mfest.

Apa komen anda?