Kerjasama sedunia diperlukan untuk menangkap Pokemon Lagenda

Share Button

Pelatih Pokemon GO seluruh dunia, berkumpul sekarang. Mereka yang dah lama tak mengaktifkan Pokemon GO, sila pasang semula aplikasi Pokemon Go dan bersiap sedia. Pokemon lagenda yang tidak pernah muncul sebelum ini, akan keluar ke dunia Pokemon GO jika pelatih seluruh dunia dapat bekerjasama.

Sempena ulangtahun pertama Pokemon GO, Niantic akan mengadakan satu pesta di Grant Park di Chicago, pada 22 Julai bermula jam 12 tengah hari, ataupun 23 Julai jam 12 tengah malam waktu Malaysia. Niantic turut menyatakan, Pokemon Lagenda akan dilepaskan pada pesta ini dan ia boleh ditangkap, hanya dengan kerjasama pelatih Pokemon GO di seluruh dunia.

Pelatih Pokemon GO seluruh dunia perlu melepasi tiga cabaran pada 23 Julai nanti (waktu Malaysia), di mana cabaran pertama diadakan pada jam 12 tengah malam sehingga 12.30, cabaran kedua pada jam 2 pagi sehingga 2.30 pagi, dan cabaran ketiga pada jam 4 pagi hingga 4.30 pagi. Semua waktu ini adalah waktu Malaysia.

Jika berjaya melepasi cabaran ini, pelatih yang berada di Grant Park akan bertemu dengan Pokemon lagenda di sana dan perlu mengalahkannya bersama-sama dalam satu pertempuran Raid. Jika mereka berjaya dalam Raid di Grant Park, Pokemon lagenda akan mula muncul dalam Raid di seluruh dunia selepas tamatnya pesta ulangtahun Pokemon Go ini.

Cabaran di Grant Park ini akan bermula jam 7 pagi sehingga 8 pagi waktu Malaysia pada 23 Julai nanti. Orang ramai boleh turut sama menyaksikan kehangatan pertempuran mengalahkan lagenda ini, menerusi hashtag #PokemonGOFest. Ia turut akan distrim secara langsung menerusi saluran Twitch dan YouTube rasmi Pokemon GO.

Dari video yang dikongsi, dapat dilihat Pokemon lagenda yang muncul adalah Moltres, Articuno, dan Zapdos dari gen-1, dan juga Lugia bersama Ho-Oh dari gen-2. Mewtwo juga muncul seketika di penghujung. Apakah Pokemon lagenda yang paling anda ingin tangkap? Penulis yang memilih pasukan Instinct, pastinya mahukan Zapdos yang berkuasa elektrik.

[SUMBER: PokemonGoLive]

Apa komen anda?