Kehebatan teknologi di Taiwan Excellence pasti membuatkan anda kagum

Share Button

Taiwan Excellence adalah satu anugerah berprestij tinggi, di mana ia menandakan produk tersebut diiktiraf memiliki nilai inovasi hebat dan berguna untuk pengguna di seluruh dunia. Ia diperkenalkan oleh kerajaan Taiwan pada tahun 1992 dan diiktiraf oleh 100 negara di seluruh dunia.

Kini, orang ramai di Malaysia boleh menyaksikan produk-produk inovatif yang menerima anugerah Taiwan Excellence, menerusi pameran Taiwan Excellence Pavillion yang diadakan di pusat membeli-belah 1 Utama. Bertempat di LG Oval Concourse, ia dibuka kepada orang ramai secara percuma dari 12 Julai sehingga 16 Julai 2017.

Selain pameran, orang ramai juga akan disajikan dengan demonstrasi produk dari pakar, serta persembahan kebudayaan. Antaranya adalah persembahan bermain drum dari VR Drum Academy serta penampilan penyanyi dan penulis lirik, Joyce Chu.

Pengunjung pameran ini juga berpeluang mencuba sendiri pelbagai produk yang dipamerkan dan menyertai aktiviti yang disediakan seperti sesi realiti maya, bermain golf dan lain-lain. Penganjur turut menyediakan cabutan bertuah buat pengunjung, dengan hadiah berjumlah RM10,000 dari jenama seperti ASUS, Johnson Fitness dan Adata untuk dimenangi.

Jenama yang menerima pengiktirafan Taiwan Excellence

Jika anda peminat teknologi terutama perkakas komputer, jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan pelbagai produk hebat yang dipamerkan. Antara yang menarik perhatian kami adalah laptop berkuasa gergasi Acer Predator 21X dan casing komputer lutsinar Thermaltake. Terdapat juga produk sukan dan makanan yang diiktiraf Taiwan Excellence.

Malaysia dan Taiwan memiliki hubungan niaga yang sangat akrab di mana Taiwan adalah sumber pelaburan keempat terbesar di Malaysia. Malaysia pula telah membuat perdagangan di Taiwan sebanyak USD14.1 bilion (~RM60.52 bilion) pada tahun 2016, menjadikan Malaysia rakan niaga kelapan terbesar Taiwan.

Apa komen anda?