Emoji hijab diiktiraf Apple

Share Button

Hari Emoji Sedunia telah disambut pada 17 Julai lepas. Antara yang menyertai kemeriahannya adalah Apple. Mereka telah mengumumkan beberapa set emoji baru yang akan dimuatkan ke dalam iOS, macOS dan watchOS pada kemaskini tidak lama lagi, salah satu darinya adalah emoji berhijab.

Menurut CNN, cadangan emoji berhijab ini diutarakan oleh Rayouf Alhumedhi, seorang remaja berusia 16 tahun dan berasal dari Arab Saudi dan kini menetap di Vienna, Austria. Beliau telah mencadangkan emoji berhijab ini kepada The Unicode Consortium, sebuah organisasi tidak berasaskan keuntungan tahun lepas.

Rayouf menambah, beliau mendapat idea tersebut ketika berborak bersama rakan di dalam WhatsApp. Beliau cuba meletakkan emoji yang boleh mewakili rupa beliau menggunakan koleksi emoji sedia ada, tetapi tidak menemui emoji yang sesuai dengan imej berhijab beliau.

Dari situ, beliau menulis kertas cadangan dalam masa singkat dan menghantarnya ke Unicode. Kemudiannya idea beliau disokong oleh ahli jawatankuasa emoji di Unicode, Jennifer 8. Lee yang seterusnya menghubungkan Rayouf dengan Aphee Messer untuk rekaan emoji tersebut.

Cadangan Rayouf ini juga disambut baik oleh pengasas bersama Reddit, Alexis Ohanian yang kemudiannya membuat diskusi tentangya di Reddit. Ramai yang menyokong idea ini tetapi tidak kurang juga yang membantah. Antara alasan bantahan adalah hijab menindas wanita. Suara yang menyokong pula gembira kerana selain wanita berhijab, emoji wanita mengandung juga akan diperkenalkan.

Beberapa emoji baru yang diluluskan tahun ini dan akan tiba di Apple

Emoji adalah satu bahasa universal yang mudah difahamai ramai. The Unicode Consortium tahun ini meluluskan 2,666 emoji sehingga bulan Jun, berbanding hanya 722 pada dua tahun lepas. Selain itu, penggunaan emoji diperluaskan lagi dengan kepelbagaian warna kulit, bendera dan juga pekerjaan.

Adakah anda ada idea unik emoji yang sangat diperlukan oleh orang ramai? Jika nak hantarkan cadangan ke Unicode, boleh ikuti langkah di laman cadangan Unicode.

[SUMBER: CNN]

Apa komen anda?