100% tiada tunai di plaza tol bermula Ogos

Share Button

Rasanya pengguna jalanraya di Malaysia kini sudah biasa dengan pembayaran tanpa tunai di plaza tol, kerana PLUS telah menguatkuasakannya sejak April lepas. Tetapi bermula 14 Ogos 2017, semua plaza tol di Malaysia akan melaksanakan Kutipan Tol Elektronik (ETC), dan tidak lagi menerima bayaran tunai.

Perkara ini disahkan oleh Pengerusi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali. Menurut beliau, transaksi Touch ‘n Go mengambil masa hanya 6 saat, manakala SmartTag hanya 3 saat. Transaksi tunai pula memerlukan sehingga 15 saat untuk melengkapkan pembayaran.

Beliau berkata demikian dalam majlis pelancaran Kutipan Tol Elektronik (ETC) bagi Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) dan Fasa 2 (LPT2). Kedua-dua lebuhraya ini masih menerima bayaran tunai, dan akan berubah ke sistem ETC sepenuhnya menjelang 14 Ogos kelak.

Tambah beliau, bagi melancarkan operasi di semua plaza tol, konsesi lebuh raya terbabit akan memastikan kemudahan lorong tambah nilai dan penjualan kad Touch ‘n Go di lorong beroperasi 24 jam serta terdapat kakitangan bagi membantu sebarang masalah.

Melalui sistem ETC, pengguna lebuh raya hanya boleh menggunakan kad Touch ‘n Go atau SmartTag untuk membuat bayaran di plaza tol.

Pembelian kad Touch ‘n Go boleh dilakukan di Touch ‘n Go Hub & Spot, serta beberapa lokasi terpilih, yang boleh dirujuk di sini. Tambah nilai pula boleh dibuat bukan sahaja di Plaza Tol, malah di mesin ATM, kedai 24-jam & serbaneka, pusat beli belah, stesen minyak dan lain-lain. Lebih banyak info tentang Touch ‘n Go boleh didapati di laman web www.touchngo.com.my.

[SUMBER: BernamaUtusan]

Apa komen anda?