Telefon pintar nubia tiba di Malaysia bersama CR7

Share Button

nubia, sebuah jenama telefon pintar di bawah ZTE hari ini mengumumkan ketibaannya secara rasmi di Malaysia. Bersama perasmian ini, ia memperkenalkan 4 model telefon pintar iaitu N1 Lite yang mampu dimiliki ramai, M2 dan M2 Lite berkelas pertengahan dan Z11 dengan kuasa tertinggi.

Bagi yang berminat untuk mencuba sendiri telefon pintar nubia ini, mereka kini sedang mengadakan pameran khas di Plaza Low Yat, dari 19 Jun sehingga 25 Jun 2017. Beberapa acara menarik turut disediakan seperti pertandingan tendang & menang, serta hadiah ekslusif untuk pembelian telefon pintar.

Telefon pintar nubia dijual dengan harga RM599 untuk nubia N1 Lite, RM1,099 bagi nubia M2 Lite, RM1,699 bagi nubia M2 dan RM1,899 untuk nubia Z11. Kesemua model telefon pintar nubia ini boleh mula dibeli menerusi pengedar sah nubia di seluruh Malaysia, serta di laman e-dagang Lazada, 11street dan DirectD.

Jika anda tidak tahu, pemain bola sepak terbaik dunia 2016 yang baru sahaja memenangi Piala Liga Juara-Juara Eropah 2017 iaitu Christiano Ronaldo, adalah duta bagi nubia. Jika anda pemiant CR7, jangan terlepas untuk turut sama memiliki telefon pintar nubia.

nubia N1 Lite

N1 Lite mampu mengisi keperluan mereka yang memiliki bajet kecil untuk telefon pintar. Ia memiliki skrin luas 5.5-inci HD, dengan bateri 3,000mAh. Kuasanya pula digerakkan pemproses MediaTek MTK6737, dengan RAM 2GB dan storan dalaman 16GB.

Kamera belakang N1 Lite menggunakan sensor 8MP F2.0, dan kamera hadapan pula 5MP F2.8. Ia menjalankan sistem operasi Android 6.0 Marshmallow, dan mempunyai pengimbas capjari untuk lebih keselamatan.

nubia N1 Lite ditawarkan di Malaysia dengan warna Black Gold.

nubia M2 Lite

Rupa bergaya tanpa harga yang membebankan adalah sasaran nubia M2 Lite. Kuasa dalamannya seperti cip MediaTek Helio P10, 4GB RAM dan 32Gb storan dalaman pasti dapat memuaskan hati pengguna. Ditambah lagi dengan skrin besar 5.5-inci HD yang melengkung 2.5D di sisi.

Telefon ini juga disasarkan untuk peminat swafoto kerana dilengkapi kamera hadapan 16MP F2.0 bersama lensa lebar. Kamera belakang pula 13MP F2.2. Kapasiti baterinya sebesar 3,000mAh dan ia menjalankan sistem operasi Android 6.0.1 Marshmallow.

Pembeli di Malaysia boleh memilih warna di antara Black Gold atau Champagne Gold untuk model nubia M2 Lite ini.

 

nubia M2

Telefon nubia yang lebih menarik untuk dimiliki adalah nubia M2. Ia adalah telefon pintar dengan dwi-lensa kamera yang pertama keluaran nubia. Kamera ini menggunakan teknologi dwi-sensor 13MP F2.2, gabungan sensor RGB dan monokrom untuk penghasilan gambar yang lebih menawan. Dwi enjin pemproses imej (ISP) dan fokus pantas PDAF adalah sebahagian dari kehebatannya.

Kamera hadapan pula dilengkapi sensor 16MP F2.0 dengan lensa lebar 80-darjah. Mod Portrait disertakan bersama, menjadikan tangkapan swafoto menarik yang tajam pada wajah dan latar belakang yang kabur.

Skrin nubia M2 seluas 5.5-inci, beresolusi HD penuh dan melengkung 2.5D di sisi. Kuasa dalamannya dijana oleh cip Qualcomm Snapdragon 625, RAM 4GB dan storan dalaman 64GB. Ia menyokong penambahan storan kad mikroSD sehingga 200GB.

Bateri 3,630mAh dimuatkan di dalam nubia M2, dengan sokonga pengecasan pantas NeoCharge 18W melalui sambungan USB-C. Sistem dwi-antena pintar TruSignal memastikan signal lebih kuat dan stabil.

Dua warna ditawarkan untuk nubia M2 di Malaysia iaitu Black Gold dan Champagne Gold.

 

nubia Z11

nubia turut memiliki telefon berprestasi tinggi, dengan membawakan nubia Z11. Ia dikuasakan pemproses Snapdragon 820, RAM 6GB dan storan dalaman 64GB. Skrinnya berukuran 5.5-inci HD penuh, dengan rekaan hampir tiada bezel di tepi.

Penstabil imej optikal (OIS) dengan sensor Sony IMX298 melengkapi kamera belakang 16MP F2.0 di nubia Z11. Kamera hadapannya pula 8MP F2.4.

Bateri nubia Z11 agak kecil, hanya 3,000mAh yang dicas melalui sambungan USB-C. Sistem operasinya berasaskan Android 6.0 Marshmallow, dengan antaramuka nubia UI 4.0.

nubia Z11 ditawarkan dalam warna kelabu.

Trackbacks

  1. […] baru sahaja memasuki pasaran Malaysia pada Jun lepas, dengan penampilan bergaya 4 telefon pintar yang sesuai untuk segenap peringkat […]

Apa komen anda?