Skrin lebih besar, prestasi lebih tinggi dalam badan sama kecil

Share Button

Kekal nipis, berkuasa tinggi tetapi kini lebih besar. Razer mengumumkan ketibaan laptop kompaknya, Razer Blade Stealth baru dengan skrin 13.3 inci, sedikit besar berbanding skrin 12.5 inci pada model terdahulu tetapi mengekalkan kenipisan dan saiz badan yang sama.

Razer Blade Stealth 13.3-inci memiliki kenipisan hanya 0.52-inci atau 13.1mm, dengan berat 1.33kg sahaja. Badan besinya diperbuat dari aluminium yang digunakan dalam pembuatan pesawat, dan kali ini tampil dengan dua pilihan warna, Hitam dan Gunmetal.

Skrin 13.3-inci pada Razer Blade Stealth baru ini dilengkapi paparan sentuh IGZO, dengan resolusi super tinggi QHD+ (3200×1800). Razer berjaya mengurangkan bezel sehingga 50% berbanding model 12.5-inci, membolehkannya mengekalkan saiz badan yang sama pada model 13.3-inci ini.

Prestasinya yang berkuasa tinggi digerakkan oleh pemproses intel Core i7-7500U, bersama RAM LPDDR3-1866MHz sebesar 16GB dan storan SSD PCIe M.2 sehingga 1TB. Kuasa grafiknya pula diuruskan oleh cip Intel HD Graphics 620, tetapi ia boleh disambungkan dengan kuasa grafik luaran NVIDIA atau AMD, melalui Razer Core yang dijual berasingan.

Tambah menarik lagi adalah papan kekuncinya yang memiliki cahaya Razer Chroma. Setiap satu kekunci boleh diubahsuai warna lampu serta efek, dengan pilihan sehingga 16.8 juta warna.

Laptop Razer Blade Stealth 13.3-inci ini telah mula dijual di Amerika Syarikat, Kanada, United Kingdom, Jerman dan Perancis sekarang, dan akan menyusul ke pasaran antarabangsa yang lain pada bulan Julai depan.

Harga jualan Razer Blade Stealth ini bermula dari USD1399 (~RM6,001) untuk storan 256GB, USD1599 (~RM6,858) bagi 512GB dan USD1999 (~RM8,574) dengan 1TB storan. Razer Core pula dijual pada harga USD399 (~RM1,711) jika dibeli bersama laptop, atau USD499 (~RM2,140) jika dibeli berasingan.

Maklumat lanjut tentang laptop baru Razer ini boleh didapati dengan melayari laman produk Razer Blade Stealth.

Apa komen anda?