Mampukah Xbox One X Gugat PS4 Pro?

Share Button

Kehadiran Xbox dalam pasaran Malaysia tidaklah begitu ketara jika dibandingkan dengan Playstation. Namun Project Scorpio didedahkan sebagai XboX One X dalam E3 2017 dan ia bakal menjadi konsol permainan video paling berkuasa dalam sejarah apabila mula dijual awal November 2017.

Adakah Xbox One X (One X) nyata berkuasa berbanding Playstation 4 Pro (PS4 Pro) yang sudah pun dijual awal tahun ini?

Spesifikasi konsol terhebat Microsoft & Sony

Jika anda bercadang untuk menaik taraf konsol permainan, anda tak perlu risau tentang perlu membeli permainan baru kerana kedua-dua Xbox dan PS4 boleh memainkan semua judul permainan yang anda miliki.

Tapi anda perlu ingat yang kandungan kedua-dua konsol, walaupun ada permainan yang hadir dalam kedua-dua konsol, ada juga yang eksklusif untuk sesuatu konsol.

Xbox One X adalah konsol Xbox paling kecil pernah dihasilkan Microsoft

Lebih menarik, permainan itu akan menerima suntikan prestasi hasil daripada perkakasan baru yang digunakan pada kedua-dua konsol permainan.

Untuk kuasa mentah pemerosesan, One X memberikan sekurang-kurangnya 31% lebih teraflops berbanding PS4 Pro. Teraflops adalah kayu ukur untuk mengetahui tahap kekuasaan pemperosesan grafik sesuatu mesin.

PS4 masih miliki masa untuk kukuhkan kedudukan dalam pasaran

6 teraflops yang dibekalkan One X untuk memproses grafik mampu memberikan konsol ini memainkan permainan pada resolusi 4K 60fps, sama seperti PS4 Pro walaupun konsol Sony itu hanya memiliki 4.12 teraflops untuk bekerja.

PS4 Pro memiliki RAM 8GB GDDR5 dengan 1GB dikhaskan untuk mengendalikan proses latar. One X pula memiliki hampir sekali ganda iaitu 12GB. CPU dan GPU kedua-dua konsol berkonsi sumber RAM yang sama tetapi bagaimana implementasinya adalah proprietari untuk kedua-dua jenama.

Kesimpulan

Sejak dilancarkan awal tahun ini, PS4 Pro telah menerajui konsol permainan yang mampu memainkan kandungan 4K lebih-lebih lagi dengan firmware versi 4.50 yang memberikan suntikan prestasi sehingga 40%.

Walaupun Xbox One X adalah yang paling berkuasa, ia hanya akan mula dijual November ini. Maka, Sony masih miliki masa untuk melancarkan produk-produk baru bagi mengukuhkan kedudukan mereka dalam pasaran.

Daripada segi harga, One X  lebih mahal berbanding PS4 Pro sebanyak USD 100. Untuk pasaran yang sangat peka harga seperti Malaysia, perbezaan sekurang-kurangnya RM 400 ini mungkin memberi kesan besar pada keputusan untuk membeli, itupun jika Microsoft akhirnya ingin menembusi Malaysia.

Apa komen anda?