Malaysia Pasaran Terawal Terima Laptop Convertible Ternipis Dunia

Share Button

Pada Computex 2017 yang diadakan di Taiwan baru-baru ini, Asus melalui acara The Edge of Beyond mereka telah melancarkan sejumlah laptop yang dilengkapi pelbagai komponen-komponen pengkomputeran terkini. Salah satunya adalah laptop convertible ternipis di dunia iaitu Asus ZenBook Flip S.

Yang membanggakan adalah Malaysia menjadi pasaran yang terawal di luar Taiwan untuk menerima produk terbaru Asus ini. Mari kita lihat 5 siri laptop yang disediakan Asus untuk pengguna Malaysia.

Asus ZenBook Flip S

Hanya setebal 10.9mm, laptop ini adalah yang ternipis dalam kelas convertible. Bukan saja nipis, ia hanya seberat 1.1kg tetapi sarat dengan spesifikasi dalaman yang berprestasi tinggi.

Asus ZenBook Flip S

Ia dikuasakan cip Intel Core i7-7500U dengan RAM 8GB. SSD seluas 512GB disediakan untuk menyimpan data-data anda. Paparannya boleh dikilas sehingga 360 darjah hasil manfaat daripada teknologi ErgoLift. Engselnya utuh dan diperbuat daripada besi padu.

Asus ZenBook Flip S

ZenBook Flip S akan mula dijual bermula Ogos ini pada harga RM6,699.

ASUS ZenBook 3 Deluxe

ZenBook 3 Deluxe juga adalah sebuah laptop yang nipis, senipis 12.9mm dan hanya seberat 1.1kg. Bertindak selaku paparan laptop ini adalah panel HD penuh sebesar 14 inci berlapiskan kaca Corning Gorilla Glass 5.

ASUS ZenBook 3 Deluxe

Pada papan utama, anda akan menemui cip Core i7-7500U yang bergandingan dengan RAM 16GB serta SSD 1TB. Tiga port USB-C disediakan dan dua daripadanya menyokong teknologi Thunderbolt 3. Pengimbas cap jari turut hadir untuk memudahkan log masuk dilakukan.

ZenBook 3 Deluxe sudah mula dijual pada harga RM8,299.

ASUS ZenBook Pro

ZenBook Pro nampak seperti sebuah laptop gaming yang rendah diri. Ia memiliki GPU Nvidia GTX1050 beserta RAM sebesar 16GB. Pada papan utama terpateri cip Intel Core i7-7700HQ. Sekeping SSD seluas 512GB bertindak sebagai storan.

ASUS ZenBook Pro

Uniknya laptop ini berbanding laptop gaming kebanyakkan adalah ia memiliki fungsi pengecasan pantas. Ia mengisi 60% bateri dalam masa hanya 49 minit. Satu bateri penuh memberikan sehingga 14 jam waktu penggunaan. Pada bahagian audio, sepasang speaker talaan Harman/Kardon pastinya menghasilkan bunyi yang berkualiti.

ASUS ZenBook Pro akan mula dijual Ogos ini pada harga RM7299.

ASUS VivoBook Pro 15 & VivoBook S15

Siri VivoBook produk mesra bajet yang masih memiliki komponen-komponen berprestasi tinggi. Misalnya VivoBook Pro 15 dikuasakan cip Intel Core i7-770HQ bersama-sama RAM 4GB dengan GPU GTX 1050.

Asus VivoBook Pro 15

Untuk storan, ia menerima sebuah SSD dan HDD masing-masing berkapasiti 512GB dan 2TB. Laptop ini juga menyokong teknologi Intel Optane Memory serta menerima speaker talaan Harmoan/Kardon.

Seterusnya adalah VivoBook S 15 yang dihasilkan dalam dua varian. Kedua-dua varian berbeza segi CPU yang menguasakannya. Pengguna boleh memilih sama ada yang menggunakan cip Intel i5-7200U ataupun i7-7500U.

ASUS VivoBook S15

Selain cip, kedua-dua varian berkongsi spesifikasi yang sama seperti GPU Nvidia 940MX, paparan HD penuh sebesar 15.6 inci, RAM 4GB, pengimbas cap jari serta HDD sebesar 1TB dam SSD seluas 128GB (varian i7 sahaja).

Kesemua komponen itu dihimpunkan dalam badan setebal hanya 17.9mm dan seberat 1.5kg. VivoBook S akan berada dipasaran penghujung Julai ini dan mereka dijual pada harga RM2,899 (i5-7200U) dan RM3,699 (i7-7500U).

Apa komen anda?