Lima tahun tak cukup untuk Mayer selamatkan Yahoo!

Share Button

Ketua Pegawai Eksekutif Yahoo!, Marissa Mayer yang dilantik lima tahun lalu untuk mengetuai kebangkitan semula syarikat teknologi yang dulunya terkenal dengan enjin carian, nampaknya kehilangan bisa.

Pernah menghiasi kulit muka majalah Fortune, Vanity Fair dan Vogue, nampaknya Mayer yang juga antara pekerja terawal Google (beliau kakitangan Google yang ke-20) gagal membawa semula Yahoo ke zaman kegemilangannya.

Walaupun pernah diangkat majalah Glamour sebagai ‘Woman of the Year’, syarikat pimpinannya bakal dijual kepada Verizon dengan nilai USD 4.48 bilion (~RM19.11 bilion), sedangkan pada tahun 2000, nilai Yahoo! adalah USD 125 bilion (~RM533 bilion). Verizon akan menggabungkan Yahoo! dengan AOL, menjadi satu unit dikenali sebagai Oath.

Menurut laporan AFP, Yahoo! tidaklah ‘sihat’ ketika Mayer mula mengetuainya. Namun tindakan Mayer yang membeli Tumblr pada nilai USD 1 bilion (~RM4.27 bilion) dan pemecatan lebih 1,000 kakitangan bukanlah tindakan terbaik yang Mayer lakukan.

Penganalisis daripada Enderle Group, Rob Enderle berkata, “Seperti presiden kita, situasi Mayer menunjukkan bila seseorang yang tiada pengalaman disuruh melakukan pekerjaan yang belum pernah dilakukan, ia tidak akan berakhir dengan baik.”

[SUMBER: Yahoo!]

Apa komen anda?