Kerajaan mahu butang SOS dalam aplikasi

Share Button

Penyedia khidmat tempahan pengangkutan seperti Grab dan Uber, perlu menyediakan butang panik atau SOS di dalam aplikasi mereka. Ini keperluan yang mahu diwajibkan oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

Ketua Pegawai SPAD, Mohd Azharuddin Mat Sah mengesahkannya selepas bertemu dengan pegawai senior Uber Malaysia. Butang SOS ini akan menghubungkan pengguna terus kepada pihak berkuasa.

Tiada tarikh pelaksanaan diberikan, tetapi Uber telah pun memiliki butang SOS ini menerusi perkhidmatannya di India. Tambah Mohd Azharuddin lagi, notis yang sama turut telah dihantar kepada Grab.

Ia berikutan banyak kejadian tidak diingini berlaku terhadap penumpang dan juga pemandu baru-baru ini. Dalam masa sebulan kebelakangan ini sahaja, 3 kes jenayah berkaitan Uber dilaporkan.

Dalam kejadian pertama, seorang wanita tidak perasan terdapat penumpang lain di kerusi hadapan kenderaan Uber yang ditempahnya. Beliau kemudian diacukan pisau dan dirompak berhampiran pusat perniagaan One Puchong.

Kejadian kedua pula berlaku di Cheras, di mana pemandu Uber menurunkan dua orang penumpang bukan di tempat yang dipinta. Sejurus kemudian, datang dua orang penunggang motorsikal menyamun kedua-dua lelaki tersebut.

Dalam kejadian terbaru, seorang pemandu Uber di Pulau Pinang dibelasah sekumpulan lelaki yang mendakwa beliau mencabul seorang wanita warga Vietnam. Ia berlaku ketika wanita tersebut menaiki kereta Uber yang dipandu mangsa. Mangsa dikatakan mengeluarkan kemaluannya dan mengarahkan wanita tersebut memegangnya.

Pemandu Uber dibelasah di Pulau Pinang

Selain itu, SPAD juga mahu pengusaha khidmat tempahan pengangkutan menghantar maklumat peribadi pemandunya pada bulan ini, selaras dengan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 yang sedang dalam proses pindaan, dan dijangka akan dibentang di Parlimen bulan depan.

Dalam pindaan akta tersebut, SPAD akan menggunakan pengkalan data pemandu yang ada padanya, dan menyemak dengan pelbagai agensi penguatkuasa undang-undang. SPAD akan diberi kuasa untuk menyita kenderaan yang disalahguna, serta menghalang mana-mana pesalah dari memandu.

Syarikat penyedia khidmat tempahan pengangkutan juga akan dikenakan denda jika gagal menepati standard prestasi yang ditetapkan, terutama dalam aspek keselamatan.

[SUMBER: TheStar]

Apa komen anda?