Kelajuan Purata 4G Malaysia Menurun Tapi Liputan Meningkat

Share Button

Sedang industri telekomunikasi bertungkus lumus membangunkan teknologi 5G, teknologi 4G yang sedia ada terus menunjukkan pertumbuhan positif. Satu laporan daripada OpenSignal untuk bulan Jun 2017 menunjukkan capaian perkhidmatan 4G negara kita telah meningkat sebanyak 2.25% kepada 64.94%.

Data diperoleh daripada 558,260 pengguna yang menggunakan perisian OpenSignal di telefon mereka daripada 1 Januari 2017 hinggalah 31 Mac 2017. Data OpenSignal lebih menyerupai penggunaan sebenar kerana ia merekodkan pola pengunaan data secara aktif dilatar telefon.

Kita berada pada tangga ke-44 daripada 75 negara yang tersenarai dalam laporan tersebut. Korea selatan menduduki tangga pertama dengan 96.38% capaian manakala di tangga paling bawah adlaah Sri Langka dengan 40.12%.

Daripada segi purata kelajuan pula, kita ditangga ke-60 dengan purata kelajuan setinggi 14.35Mbps. Ia adalah satu penurunan berbanding 15.80Mbps yang dicatatkan pada laporan yang lalu. Jiran kita, Singapura, mencatatkan kelajuan purata tertinggi dengan 45.62Mbps manakala Costa Rica adalah yang paling perlahan iaitu 5.14Mbps.

Pelbagai inisiatif sudahpun diambil oleh semua penyedia perkhidmatan telekomunikasi negara kita untuk menambah baik perkhidmatan Internet mudah alih di sini. Misalnya Celcom sudahpun melancarkan Lightning Fast LTE yang mampu memberikan kepantasan melebihi 400Mbps.

U Mobile pula sudah mula memasang kelengkapan LTE-A mereka di Sabah sejak tahun lepas.

Daripada perspektif pengguna, adakah anda mementingkan konsistensi sambungan ataupun kepantasan semata-mata?

[Sumber: OpenSignal, 2]

Apa komen anda?