Jangan panggil semula atau jawab panggilan antarabangsa yang tak dikenali

Share Button

Baru-baru ini pengguna Celcom menerima mesej yang menyatakan, terdapat peningkatan dari nombor yang tidak dikenali yang berasal dari Maldives. Nombor ini bermula dengan angka +9607. Tambah Celcom lagi, ia mungin panggilan yang cuba membuat penipuan, jadi adalah lebih baik untuk tidak menjawab atau memanggilnya semula.

Sebenarnya panggilan ini tidak ubah seperti kes Miss Call Wangiri. Penipuan Wangiri adalah satu cara di mana pemanggil akan membuat panggilan, tetapi dalam satu nada dering sahaja terus diputuskan panggilan.

Ini akan meninggalkan notis Missed Call di telefon penerima. Kebiasannya, panggilan Wangiri ini diuruskan oleh sistem komputer, yang akan membuat beribu panggilan ke nombor berlainan secara rawak.

Buat mereka yang tidak tahu atau menyemak dahulu nombor telefon tadi, pasti akan memanggil semula nombor Miss Call itu. Jika ia suatu penipuan, ia mungkin akan menyambungkan pemanggil ke suatu nombor premium di luar negara, yang mengenakan kadar melampau tinggi kepada pemanggil. Ini dilakukan kerana mereka menerima komisen pada setiap minit panggilan berkadar terlampau itu.

Untuk mengelakkan dari menjadi mangsa penipuan panggilan antarabangsa ini, TheSkop cadangkan anda memasang aplikasi Whoscall atau TrueCaller di telefon pintar anda. Aplikasi ini boleh membantu mengesan nombor yang tidak dikenali, melalui carian di internet serta perkongsian orang ramai. Ia boleh dimuat turun di Apple Appstore dan Google Playstore:

Setiap kali panggilan tidak dikenali atau tidak terdapat di dalam buku telefon anda masuk, aplikasi ini akan mengeluarkan pop-up dan memberitahu siapakah pemanggil, itupun jika nombor itu terdapat di dalam pengkalan data mereka.

Selain menggunakan aplikasi tadi, CFM Malaysia mencadangkan tiga tips untuk membantu anda tidak menjadi mangsa penipuan panggilan ini.

PERTAMA, jika tidak kenal nombor tersebut, jangan panggil semula. Jika ianya panggilan yang penting, pastinya pemanggil tadi akan memanggil anda semula.

KEDUA, jika anda betul-betul mahu memanggil semula, cuba Google dahulu nombor tersebut. Mungkin ada orang lain yang berpengalaman dengan nombor itu, berkongsinya di dunia internet.

KETIGA, jika anda jarang membuat panggilan ke luar negara, anda boleh meminta syarikat telekomunikasi anda untuk menghalang panggilan ke luar negara di talian anda.

Jangan biarkan diri anda, mahupun keluarga dan rakan handai menjadi mangsa penipuan panggilan antarabangsa ini. Beringat sebelum kena, cegah sebelum parah.

Apa komen anda?