Celcom mohon maaf atas gangguan di seluruh negara

Share Button

Kecoh Malaysia dibuatnya semalam apabila salah satu rangkaian mudah alih utama di Malaysia, kehilangan signal. Pengguna Celcom melaporkan ketiadaan signal Celcom bermula dari jam 7 pagi semalam.

Lebih teruk lagi, ia bukan sahaja melibatkan pengguna prabayar dan pasabayar Celcom di seluruh Malaysia, tetapi penyedia rangkaian maya yang bergantung kepada rangkaian Celcom. Antaranya adalah webe, TuneTalk dan redONE.

Bagaimanapun masalah ketiadaan signal ini dilihat kembali pulih sekitar jam 12 tengah hari untuk Semenanjung Malaysia, dan sekitar jam 2 petang bagi pengguna di Sabah dan Sarawak.

Celcom telah mengeluarkan kenyataan tentang masalah ini. Mereka memintaa maaf kepada semua pengguna tentang gangguan ini yang menyebabkan tiada panggilan boleh dibuat serta tiada akses ke internet, terutama rangkaian 2G dan 3G.

Tambah Celcom lagi, masalah ini berlaku ketika kerja-kerja naiktaraf rangkaian sedang dilakukan. Celcom sedang menaiktaraf platform teknologi 60Gbps kepada 100Gbps. Di sini, berlakunya peningkatan trafik keluar yang mendadak, mengakibatkan kesesakan di nod Celcom Subang HiTech dan Kepong.

Pasukan teknikal telah bertungkus lumus untuk membaikinya dan berjaya memulihkan rangkaian sepenuhnya sekitar jam 2 petang.

Tetapi, Celcom tidak pula menyatakan sebarang tawaran buat pelanggan di atas gangguan ini. Tindakan ini dilihat berbeza ketika rangkaian Celcom bermasalah dengan Facebook, WhatsApp dan Instagram pada April lepas. Di mana Celcom memberi 1 hari data percuma untuk penggunaan Facebook dan WhatsApp sebagai tanda meminta maaf.

Bermaaf-maafan sememangnya satu amalan yang mulia, lebih-lebih lagi di bulan Ramadhan ini serta Hari Raya yang semakin hampir tiba. Tetapi pastinya pelanggan lebih mudah memaafkan jika ia disertakan sesuatu, macam duit raya ke?

Tapi mungkin ramai yang sedia memaafkan Celcom setelah memaparkan gambar kucing untuk meminta maaf.

Apa komen anda?