Brightstar sahkan kedatangan BlackBerry KEYone di Malaysia

Share Button

Mula diwar-warkan sejak bulan lepas, hari ini pengedar Blackberry di Malaysia, Brightstar mengumumkan akan mula menjual BlackBerry KEYone bermula 20 Jun 2017. Telefon terakhir yang dihasilkan sendiri BlackBerry ini akan boleh dibeli di Malaysia dengan harga RM2,688.

BlackBerry KEYone akan boleh dibeli menerusi pengedar sah Brightstar di seluruh Malaysia. Tempahan juga boleh dibuat dalam talian di laman web Lazada dan 11street. Beberapa penjual dilihat menawarkan hadiah percuma bersama tempahan awal ini.

Mengapa anda perlu membeli BlackBerry KEYone? Bukankah zaman BlackBerry telah berlalu dan kini adalah zaman Android dan iOS?

BlackBerry KEYone adalah telefon pintar rekaan BlackBerry, tetapi menggunakan sistem operasi Android. Ia mengekalkan kekunci fizikal yang sangat digemari ramai suatu ketika dahulu, dengan perkakas terbaharu yang lebh berkuasa.

Paling utama, BlackBerry menggelarnya sebagai peranti paling selamat di dunia. Selain menjanjikan kemaskini keselamatan Android yang pantas, BlackBerry juga memastikan penggunaan yang selamat melalui pemantauan keselamatan oleh DTEK.

Rekaan kekunci fizikal BlackBerry serupa seperti PRIV. Selain tekanan fizikal, ia juga peka sentuhan yang membolehkan ia digunakan sebagai trackpad untuk skrin. Selain itu, BlackBerry menanam pengimbas capjari ke dalam butang SPACE, menjadikannya seperti tidak kelihatan langsung pada KEYone.

BlackBerry KEYone diperkasa pemproses Snapdragon 625, RAM 3GB dan storan 32GB. Skrinnya berukuran 4.5-inci, dengan resolusi HD Penuh 1620×1080. Baterinya sebesar 3,505mAh dipuji ramai mampu bertahan lebih dari sehari. Apatah lagi ia boleh dicas pantas kerana ia menyokong QuickCharge 3.0 melalui sambungan USB-C.

Jika anda peminat kekunci fizikal BlackBerry, jangan terlepas untuk mendapatkan KEYone. Tempah sekarang di Lazada atau 11street untuk memastikan anda menjadi pemilik KEYone yang terawal di Malaysia.

Apa komen anda?