Nubia Z17, telefon pertama dengan RAM 8GB di Malaysia?

Share Button

Ketibaan nubia di Malaysia bukan sahaja untuk memenuhi keperluan mereka yang berbajet rendah dan sederhana, tetapi ia juga membariskan telefon pintar berkuasa tinggi setaraf jenama besar seperti Samsung, HTC, Sony, Huawei dan banyak lagi. Selain nubia Z11, nubia Malaysia turut mengumumkan nubia Z17 yang baru dilancarkan di China, akan tiba di Malaysia tidak lama lagi.

nubia Z17 dijangka akan mula dijual di Malaysia pada bulan Ogos akan datang, dua bulan dari sekarang. Telefon pintar dengan spesifikasi rasaksa ini telah pun mula dijual di China dengan harga bermula dari RMB2,799 (~RM1,754). Versi terhebatnya dibekalkan 8GB RAM dan 128GB storan dalaman, berharga RMB3,999 (~RM2,507).

Prestasinya yang amat tinggi diperoleh dari cip Snapdragon 835, sama seperti yang terdapat pada Galaxy S8, HTC U11 dan Sony Xperia XZ Premium. Kesemua telefon ini berharga lebih dari RM3,000. Tetapi jika Ringgit Malaysia boleh kekal atau lebih kukuh dari sekarang, mungkin kita akan melihat nubia Z17 berharga kurang dari RM3,000 di Malaysia bulan Ogos nanti.

Tetapi jangan dilupakan pada pakar telefon yang lebih murah dari biasa, Xiaomi. Mi 6 yang turut memiliki kuasa Snapdragon 835 telahpun dijual di China dengan harga bermula dari RMB2,499 (~RM1,566). Persoalannya, bolehkah Mi 6 tiba lebih dahulu dari nubia Z17?

Selain prestasi tinggi, nubia Z17 adalah peranti pertama yang menyokong pengecasan pantas Qualcomm QuickCharge 4.0+. Malangnya kapasiti baterinya hanyalah 3,200mAh sahaja. Dikatakan, ia boleh dicas 50% dalam masa 25 minit sahaja.

Tambah menarik di nubia Z17 adalah kamera berkembar padanya. Ia merupakan gandingan lensa lebar dan tele seperti di iPhone 7 Plus, gabungan sensor 23MP dan 12MP F1.8 yang memberikan zum optikal 2.0x. Kamera depan pula menggunakan sensor 16MP F2.0. Skrin nubia Z17 berukuran 5.5-inci HD Penuh, melengkung 2.5D di sisi dan hampir tiada bezel di tepi.

Adakah anda berminat dengan telefon terhebat nubia ini? Cukup dengan 6GB RAM, atau perlu mendapatkan versi 8GB RAM?

Apa komen anda?