Wannacry serang e-Perbankan dan membiak di WhatsApp adalah palsu

Share Button

Ramai dari kita menerima mesej dari WhatsApp yang menyatakan perbankan internet seperti Maybank2u, CIMB Clicks dan banyak lagi tidak boleh digunakan lagi kerana dijangkiti WannaCry. Pakar keselamatan siber negara, CyberSecurity Malaysia menafikan perkara tersebut.

Mesej tersebut menasihatkan agar pengguna tidak lagi menggunakan perbankan dan beli-belah online.

Malah, ada mesej lain yang menyebut WannaCry kini menjangkiti WhatsApp dan menyebarkan jangkitan ransomware tersebut, menerusi kepilan dengan takuk seperti ‘good morning’ atau ‘thought of the day’.

Mesej WhatsApp tersebut turut disertakan pautan dari TheStar yang menceritakan tentang serangan WannaCry, tetapi pautan tersebut tidak menyebut langsung tentang masalah perbankan online. Ini menunjukkan cerita ini direka-reka dan tidak ada kena-mengena dengan laporan di dalamnya.

Pihak CyberSecurity Malaysia mengesahkan dengan TheStar, kedua-dua mesej WhatsApp tersebut adalah palsu.

Persatuan Bank-Bank Malaysia (ABM) juga menyatakan, tiada ATM atau servis perbankan internet yang tidak boleh digunakan beberapa hari lepas. Kesemuanya beroperasi seperti biasa. Jika ada yang tidak berfungsi pun, hanyalah penyelenggaraan biasa.

Rakyat Malaysia perlu prihatin dan menyemak dahulu, kesahihan dan sumber berita yang tersebar. Penyebaran berita yang palsu boleh menyusahkan banyak pihak.

WannaCry yang heboh diperkatakan kini adalah sejenis malware berbentuk ransomware, yang menyerang seluruh dunia. Ia melumpuhkan banyak organisasi, dengan mempergunakan kelemahan di dalam sistem operasi Windows. WannaCry kemudian mengenkripsi fail-fail di dalam komputer, dan meminta wang tebusan sebelum memulihkan semula fail tersebut.

Pakar keselamatan siber dunia, Kaspersky mengaitkan WannaCry dengan Lazarus, kumpulan penceroboh yang telah banyak melakukan jenayah siber sebelum ini.

[SUMBER: TheStar]

Apa komen anda?