Premium Mampu Milik Adalah Kata Kunci Surface Laptop Daripada Microsoft

Share Button

Microsoft telah mengumumkan satu keahlian baru dalam ekosistem produk Surface mereka hari ini dengan pengenalan Surface Laptop. Ia adalah sebuah ultrabook berspesifikasi tinggi dan yang pertama menggunakan Windows 10 S, sebuah cabang baru dalam sistem operasi Windows, seakan Chrome OS.

Uniknya rekaan Surface Tablet adalah penerimaan sentuhan premium padanya. Bahagian papan kekuncinya dilapisi fabrik Alcantara sama seperti yang boleh ditemui pada Surface Tablet.

Cara pengurusan haba juga tidak ketinggalan diberi suntikan premium kerana Vapor Chamber digunakan pada komputer ini. Ia lebih efisien berbanding teknologi paip haba tetapi lebih mahal untuk dihasilkan.

Tidak terhenti di situ, kedudukan speaker yang berada di bawah papan kekunci mengurangkan kebarangkalian bunyi dihalang oleh permukaan tempat laptop itu diletakkan.

Ia menggunakan paparan beresolusi HD penuh 13.5′ dengan fungsi sesentuh. Baterinya dikatakan mempu menguasakan komputer sehingga 14 jam lamanya.

Sebagai sebahagian dari ekosistem Microsoft Surface, laptop ini serasi dengan aksesori-aksesori Surface yang lain. Antara aksesori yang boleh digunakan pada Surface Laptop adalah Dock, Dial, Arc Mouse, dan Pen pada Surface Laptop.

Varian terendah Surface laptop menggunakan cip Intel Core i5 generasi ke-7 dengan RAM seluas 4GB RAM beserta ruang storan SSD 128 GB. Varian paling atas menggunakan Intel Core i7 generasi ke-7 dengan 16 GB RAM serta storan SSD 512 GB.

Daripada segi port, pengguna akan menerima port USB 3.0, Mini DisplayPort dan audio. Sayangnya tiada USB-C diberikan dan pengecasan dilakukan menerusi Surface Connector, port proprietari Microsoft.

Windows 10 S yang didukungnya memiliki kelainan daripada sistem operasi biasa. Ia hanya menggunakan aplikasi yang terkandung dalam Windows Store. Tapi pengguna boleh bertukar ke Windows 10 Pro dengan sedikit bayaran premium jika mahu.

Surface Laptop ditawarkan dalam warna Burgundy, Platinum, Cobalt Blue, dan Graphite Gold.

Katanya ditujukan untuk golongan pelajar. Tetapi, melihat pada spesifikasi, golongan professional juga pastinya berminat untuk mendapatkannya. Untuk yang berminat, Surface Laptop dijual pada harga bermula USD 999 (RM 4,310) hinggalah USD 2,199 (RM 9,488)  dan akan mula dijual penghujung Jun ini.

[Sumber: Microsoft]

Trackbacks

  1. […] Pro (2017) akan mula dijual 15 Jun ini bersama-sama Surface Laptop yang baru dilancarnya beberapa minggu […]

Apa komen anda?