HTC U11 Hadir Dengan Sensor Tekanan Di Sisinya

Share Button

HTC hari ini melancarkan sebuah telefon untuk bersaing dalam arena telefon yang menggunakan cip Snapdragon 835. HTC U11 mewarisi ciri-ciri daripada HTC U Ultra seperti penggunaan teknologi Liquid Surface serta HTC USonic. Selain itu, ada juga teknologi baru diterapkan.

Misalnya, ia hadir dengan permukaan peka tekanan pada kedua-dua belah sisinya untuk menerima input pengguna. HTC Edge Sense boleh memudahkan pengguna melakukan tugasan-tugasan tertentu pada telefon seperti melancarkan kamera. Ia turut boleh bertindak sebagai butang Push-to-Talk (PTT) untuk berbual.

Ia juga boleh diprogramkan untuk melancarkan aplikasi tertentu. Fungsi Edge Sense diperluas dengan kemampuannya mengenal pasti jenis tekanan yang diterima semasa digenggam untuk melakukan perkara tertentu. Dan oleh sebab ia mengesan tekanan, input daripada tangan bersarung tangan juga boleh dibacanya.

Jika takhta DxOMark buat masa ini diduduki Google Pixel, HTC U11 hadir untuk menggantikannya. Ia menerima markah tertinggi hasil ujian pihak DxO. Untuk kamera belakang U11 menggunakan sensor 12MP UltraPixel 3 dengan penstabil imej optikal. Sistem pemfokusan UltraSpeed AutoFocus memberikan keupayaan membidik fokus setara kamera DSLR. Kamera depan pula menggunakan sensor 16MP UltraPixel.

Tiga kecerdasan buatan berlainan disokong oleh HTC U11. HTC Sense Companion, Google Assistant, dan Amazon Alexa. Malah, dalam pasaran China, Duer AI Assistant yang dibangunkan pihak Baidu.

Daripada segi spesifikasi, ia hadir dengan benda-benda biasa yang ada pada sebuah flagship seperti platform Snapdragon 835 dengan RAM seluas 6GB. Storan sebesar 128GB diberikan dengan slot mikro-SD yang menyokong kad sehingga 2TB. Telefon ini kalis air pada tahap IP67.

HTC U11 hadir dalam warna Amazing Silver, Sapphire Blue, Brilliant Black, Ice White, dan Solar Red.

Harga telefon ini tidak pula dikongsikan pada majlis pelancaran itu, tetapi sebagai rujukan, HTC U Ultra dijual pada harga RM2,599, selepas dipotong RM400 pada 14 April yang lalu. Mungkinkah HTC U11 akan menduduki paras RM2,999 yand ditinggalkan U Ultra tempoh hari?

Walau apapun, tanda kalendar anda kerana telefon ini akan tiba di Malaysia sekitar Jun bulan depan.

 

 

Apa komen anda?