[Google I/O 2017] RAM 1GB cukup lancar untuk Android Go

Share Button

Persidangan 3 hari Android I/O 2017 bermula hari ini dengan perasmian oleh CEO Google, Sundar Pichai. Android pastinya menjadi topik hangat, dan kali ini ia memperkatakan tentang Android Go.

Android Go adalah sebahagian dari fungsi penting di dalam sistem operasi Android O akan datang. Ia memastikan peranti berkuasa rendah dengan 1GB RAM, mampu menjalankan Android O dengan lancar dan berkos rendah.

Salah satu caranya adalah mengaktifkan fungsi Chrome Data Saver. Fungsi ini telah sedia ada di dalam peranti Android masakini. Perkara baru yang diumumkan tadi adalah YouTube Go.

YouTube Go adalah versi optimasi YouTube biasa. Ia memiliki fungsi previu, menayangkan klip pendek video untuk mengesahkan video yang ingin ditonton.

Selepas pengesahan, ia akan memberi pilihan kualiti video yang ingin ditonton. Dengan ini, pengguna boleh menganggar saiz video yang akan dimuat turun.

Jika bersambung ke WiFi, ia membenarkan muat turun untuk ditonton kemudian. Lebih baik lagi, video yang dimuat turun ini boleh dikongsi dengan peranti lain, tanpa memerlukan sambungan internet.

Google juga mahu memuatkan fungsi memeriksa baki kredit dan data prabayar, terus ke dalam kerangka Android Go. Untuk ini, Google bekerjasama dengan syarikat telekomunikasi seluruh dunia untuk merealisasikannya.

Playstore juga bertindak aktif pada Android Go. Ia akan mencadangkan aplikasi yang bersaiz kecil dan menjimatkan data, untuk kegunaan pengguna Android Go.

Akhir sekali, Google mengajak pembangun aplikasi untuk turut sama memajukan Android Go, melalui kempen Building for Bilions. Ia mensasarkan kepada pembangunan aplikasi yang boleh digunakan di luar talian, saiz fail APK kurang dari 10MB serta memiliki prestasi memori dan bateri yang baik. Bagi yang berminat, boleh mendapatkan maklumat lanjut di laman web Building for Billions.

Apa komen anda?