GeForce GT 1030 berkuasa Pascal mampu dimiliki ramai

Share Button

NVIDIA hari ini melancarkan satu lagi kuasa pemproses grafik baru, GeForce GT 1030. Ia direka berasaskan arkitektur NVIDIA Pascal yang berkuasa tinggi, tetapi di dalam pakej yang lebih mampu dimiliki ramai.

GeForce GT 1030 sedia menjalankan pelbagai tajuk permainan video terkini. Ia diperkasa dengan 2GB RAM GDDR5, dan menyokong sehingga resolusi Ultra HD 4K melalui sambungan HDMI atau Display Port.

Pemproses baru NVIDIA ini juga serasi dengan teknologi NVIDIA GameWorks, GPU Boost 3.0 dan Microsoft DirectX 12. Malah, dengan Game Ready Drivers memudahkan kemaskini perisian pemandu dan optimasi permainan video semudah satu klik.

Menurut NVIDIA, prestasi GeForce GT 1030 jauh mengatasi pemproses grafik terbina dalaman. Berbanding grafik Intel HD530 di dalam pemproses Core i3 6100, prestasi GeForce GT 1030 adalah 3x lebih baik dalam mengedit gambar (Adobe Photoshop CC 2017), 6x lebih baik dalam permainan Counter Strike: Global Offensive, serta 11x lebih bagus mengedit video (Adobe Premiere Pro CC 2017).

Kad grafik berasaskan cip GeForce GT 1030 akan boleh didapati dari rakan pengeluar NVIDIA tidak lama lagi, dengan harga bermula dari USD69 (~RM297) sahaja. Kenali GeForce GT 1030 dengan lebih mendalam dengan melayari laman web NVIDIA GeForce.

Apa komen anda?