Fujifilm Tawar Sisi Baru Dunia Fotografi Dengan instax Square SQ10

Share Button

Fujifilm hari ini mengumumkan kamera instax Square SQ10 untuk pasaran Malaysia. Ia adalah sebuah kamera hibrid yang menyegarkan semula gambar berformat segi empat sama seperti pernah dipopular Polaroid satu ketika dahulu. Hibrid pada SQ10 bermaksud ia menyimpan gambar secara digital dan boleh juga terus mencetaknya.

Ditujukan buat jurugambar kasual, SQ10 mencetak gambar bernisbah resolusi 1:1 di atas filem bersaiz 86×72mm, yang pertama seumpamanya pada barisan kamera Instax.

Pada sisi digitalnya pula, SQ10 dilengkapi sensor sebesar 1/4″ daripada jenis CMOS dengan resolusi 1920×1920 (~3.7MP). Sungguhpun bilangan pikselnya kecil, ia memadai untuk dipindahkan pada filem instax.

Lensanya memiliki jarak fokal 28.5mm (setara 35mm) dengan apertur seluas F2.4. Maka, gambar bokeh tidaklah menjadi masalah bagi kamera ini. Pada bahagian bawah pula terdapat alur skru tripod biasa.

Semua fungsi menangkap gambar dikendali secara automatik dengan beberapa mod khas untuk dipilih seperti Night Scene, Bulb. Lebih menarik, lebih 10 jenis penuras (filter) boleh dipilih untuk menggayakan gambar anda sebelum dicetak.

Memori dalaman mampu menyimpan sebanyak 50 gambar dan satu slot mikro-SD disediakan untuk memperluas ruang gambar. Satu bateri penuh memberikan kira-kira 160 keping gambar.

Selain instax Square SQ10, Fujifilm juga memperkenalkan instax mini 9 untuk menggantikan mini 8. Apa yang memebezakan mini 9 dengan yang sebelumnya adalah kehadiran cermin selfie saja. Selain itu, semua spesifikasinya adalah sama antara satu sama lain.

Berbanding dengan Square SQ10 pula, mini 9 bukanlah sebuah kamera hibrid. Ia tiada sensor digital dan memori untuk menyimpan gambar. Sebalikya, gambar dicetak terus selepas dipetik butang pengatupnya.

Maka, pengguna akan menerima kamera dengan jarak fokal 60 mm dengan lampu flash. Aksesori untuk mengambil gambar dekat juga disediakan. Jarak fokus minimum lensa ini akan dipendekkan daripada 60cm kepada 30cm untuk mengambil gambar macro.

Sebanyak enam warna ditawarkan iaitu Lime Green, Flamingo Pink, Smoky White, Ice Blue, dan Cobalt Blue.

Fujifilm instax SQUARE SQ10 dijual di Malaysia pada harga RM1,328 manakala instax Mini 9 dijual pada RM348. Tempahan sudah dibuka bermula hari ini hingga 21 Mei ini di tiga lokasi. Dua daripadanya adalah Fujifilm Wonder Photo Shops yang terletak di Sunway Pyramid dan Lot-10. Lokasi ketiga adalah Avenue-K, di reruai pameran Fujifilm di AK Japan Festival.

Layari laman rasmi instax SQUARE SQ10 dan instax Mini 9 untuk maklumat lanjut.

Apa komen anda?