Bayang BlackBerry KEYone kelihatan di Malaysia

Share Button

Telefon pintar paling selamat di dunia, kini tiba di Malaysia dalam versi terbaharu. Beberapa penjual dalam talian, dilihat telah mula membuka tempahan untuk BlackBerry KEYone, telefon pintar terakhir direka sendiri oleh BlackBerry sebelum bertukar tangan ke TCL.

Set rasmi BlackBerry KEYone di Malaysia, diedarkan oleh Brightstar, sama seperti telefon pintar BlackBerry sebelum ini iaitu Priv, DTEK50 dan DTEK60. Harga rasmi yang disenaraikan oleh penjual-penjual ini adalah RM2,688.

Antara penjual yang telah membuka tempahan BlackBerry KEYone adalah DirectD, yang menjualnya pada harga RM2,688. DirectD menawarkannya bersama hadiah percuma berupa fon kepala Bluetooth JBL T450BT. Ia dinyatakan akan mula dijual minggu terakhir Mei 2017, bermakna minggu ini.

Selain itu, di 11street terdapat dua penjual yang menawarkan set rasmi BlackBerry KEYone. Salah satu darinya adalah Gadget Village, yang memberi diskaun RM89 untuk tempahan awal, menjadikan harganya hanya RM2,599. Manakala penjual T-Mobile pula, meletakkan harga RM2,634.24.

BlackBerry KEYone juga tersenarai di Lazada, menerusi penjual Gtronics Communication. Ia dijual pada harga biasa RM2,688 tanpa sebarang tawaran. Mereka menyatakan, ia akan dijual pada awal Jun 2017.

BlackBerry KEYone membawakan papan kekunci fizikal kegemaran ramai peminat BlackBerry, dengan kuasa sistem operasi Android 7.1 Nougat. Ia memiliki kuasa cip Snapdragon 625, RAM 3GB dan storan 32GB.

Skrinnya sebesar 4.5-inci, dengan resolusi HD Penuh 1620×1080. Baterinya pula 3,505mAh dijangka mampu bertahan lebih dari sehari, dan menyokong pengecasan pantas QuickCharge 3.0.

Kameranya tidak kurang hebat, membawakan sensor 12MP di belakang, bersama 8MP F2.2 di hadapan. Papan kekunci fizikalnya turut boleh digunakan sebagai trackpad, selain pengimbas capjari terbina di dalam kekunci Space.

Adakah ini harga yang berbaloi untuk mendapatkan telefon pintar paling selamat di dunia? Untuk maklumat lanjut, layari laman produk BlackBerry KEYone.

Trackbacks

  1. […] KEYone akan boleh dibeli menerusi pengedar sah Brightstar di seluruh Malaysia. Tempahan juga boleh dibuat dalam talian di laman web Lazada dan 11street. Beberapa penjual dilihat menawarkan hadiah percuma […]

Apa komen anda?