Apple CarPlay bantu BFM langkaui frekuensi FM

Share Button

BFM Media Sdn Bhd (“BFM”), pengendali stesen radio BFM 89.9 hari ini mengumumkan pelancaran aplikasi buatan Malaysia pertama di Apple CarPlay. Apple CarPlay adalah sistem audio-visual (AV) di kereta, yang boleh diselaraskan penggunaannya dengan iPhone.

BFM kini menyertai platform global lain seperti seperti Spotify, Pandora, Stitcher malah Apple sendiri seperti Podcasts dan Music, dalam menawarkan kandungan audio di dalam kereta menerusi Apple CarPlay. Selain rancangan radio BFM secara langsung, aplikasi BFM di CarPlay turut membenarkan pemandu mendengar podcast rancangan yang telah disiarkan sebelum ini.

Aplikasi BFM di iOS

Antaramuka CarPlay boleh dikawal dengan mudah sama ada menggunakan butang kawalan di penerima AV, butang kawalan di stereng, mahupun secara suara menerusi Siri.

Langkah ini diambil BFM untuk meluaskan lagi capaian mereka di luar Lembah Klang. Ini kerana frekuensi radio BFM (89.9 MHz) hanya boleh didengari di Lembah Klang sahaja. Permohonan BFM untuk meluaskan lagi capaian frekuensi mereka ke kawasan lain di Malaysia telah ditolak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), kerana ketiadaan frekuensi.

Dengan CarPlay di dalam kereta, pengguna hanya memerlukan sebuah iPhone bersama sambungan data ke internet untuk mendengar rancangan radio BFM. Lebih baik lagi, semua pelanggan U Mobile, Digi Prepaid LiVE dan Digi Broadband tidak dikenakan caj data sepanjang menggunakan aplikasi BFM CarPlay. BFM juga sedang dalam fasa ujian bersama Maxis, untuk menawarkan manfaat yang sama.

Antara kenderaan yang menyediakan pakej CarPlay di Malaysia adalah Honda, BMW, Chevrolet, Mercedes Benz, Volkswagon dan Volvo. Model yang terlibat boleh dirujuk melalui pengedar tempatan. Selain itu, jenama seperti Alpine, Kenwood, Pioneer dan Sony turut menghasilkan penerima AV yang menyokong Apple CarPlay.

Aplikasi BFM CarPlay dibangunkan oleh Snappymob, syarikat pembangunan aplikasi web dan mudah alih yang berpangkalan di Malaysia. Muat turun aplikasi BFM iOS untuk digunakan bersama CarPlay di Apple Appstore. Atau kenali dengan lebih lanjut tentang CarPlay menerusi laman web Apple.

Apa komen anda?