Tiga zon kabin ILLEGEAR Troika lebih selesa dan nyaman

Share Button

ILLEGEAR, salah satu penghasil laptop pelbagai konfigurasi berasaskan tempahan, hari ini mengumumkan komputer desktop pertama mereka, Troika. Ia bukan calang-calang komputer, kerana rekaannya yang sungguh inovatif dan futuristik, menggunakan tiga ruang kabin.

Casing ILLEGEAR Troika terbahagi kepada tiga kabin. Kabin utama di atas dipanggil zon GPU, adalah ruang untuk kad grafik dan cakera keras 2.5-inci HDD atau SSD. Ia boleh memuatkan kad grafik berukuran penuh seperti NVIDIA GeForce GTX1080Ti 11GB GDDR5X. Tiga slot tersedia untuk menempatkan cakera keras di sebelah kad grafik.

Kabin di bawah kanan pula adalah zon Sistem. Papan induk terletak di sini, serasi dengan saiz mini-ITX. ILLEGEAR menggunakan sistem penyejukan cecair di dalam zon ini, khusus untuk menyejukkan pemproses di papan induk.

ILLEGEAR menyediakan pilihan pemproses dari Intel Core i5 generasi ke-7, sehingga Core i7-7700K yang mesra Overclock. ILLEGEAR turut menyatakan akan menyediakan pilihan pemproses AMD Ryzen di masa akan datang. RAM DDR4 sehingga 32GB boleh dipasang di dalam sistem ini.

Kabin ketiga di sebelah kiri, merupakan zon Storan. Ia memiliki ruang untuk dipasang sehingga 2 cakera keras 3.5-inci, 1 storan SSD M.2 PCIe dan pemacu cakera optikal nipis. Selain itu, zon ini adalah tempat meletakkan unit bekalan kuasa (PSU). Ia serasi dengan PSU jenis ATX bersaiz penuh.

Badan Troika diperbuat dari aluminium setebal 2mm, tetapi lebih ringan dari biasa. Terdapat juga pilihan untuk mengubah penutup besi kepada Tempered Glass, dengan tambahan RM399.

ILLEGEAR menjual Troika dengan harga bermula dari RM5,999 yang dilengkapi pemproses Intel Core-i5 7400, kad grafik Zotac GeForce GTX 1060 AMP SE 6GB GDDR5, RAM Zotac GeForce GTX 1060 AMP SE 6GB GDDR5, storan SSD 120GB, storan HDD 1TB, serta sistem operasi Windows 10 Home.

Seperti biasa, mereka yang berminat perlu membuat tempahan menerusi laman web ILLEGEAR, dan penghantaran akan dibuat bermula 10 Mei 2017. Troika disertakan jaminan selama 2-tahun, dan boleh dilanjutkan ke tahun ketiga dengan tambahan RM199.

Lebih banyak konfigurasi dan tetapan serta membuat tempahan, boleh dilakukan menerusi Stor Online ILLEGEAR. Layari laman produk ILLEGEAR Troika untuk maklumat lanjut.

Apa komen anda?