Swafoto tanpa henti dengan pakar selfie cilik OPPO A57

Share Button

OPPO Malaysia baru-baru ini mengesahkan ketibaan satu telefon pintar baru mereka. OPPO A57, satu lagi telefon dari siri pakar selfie, akan mula dijual di Malaysia pada bulan April ini.

Kamera OPPO A57 dilihat tidak jauh berbeza dengan kamera yang terdapat pada siri F1. Kamera belakangnya 13MP f/2.2 dengan autofokus PDAF. Manakala kamera hadapan pula 16MP f/2.0, dilengkapi fungsi Beautify 4.0 untuk tangkapan swafoto sempurna.

Kuasa kamera ini ditambah dengan fungsi lambaian tangan, yang memudahkan tangkapan swafoto tanpa menekan butang di telefon. Efek bokeh yang mengaburkan latar turut ditambah ke dalam fungsi kamera OPPO A57.

Telefon pintar OPPO A57 memiliki skrin HD sebesar 5.2-inci yang dimuatkan ke dalam badan besi unibodi. Kuasa pemproses pula diperolehi dari cip Snapdragon 435 8-teras, digandingkan dengan 3GB RAM. Storan dalaman pula seluas 32GB dan sedia menerima kad mikroSD sehingga 256GB.

Antaramukanya diuruskan oleh ColorOS 3.0 berasaskan Android 6.0 Marshmallow. Baterinya pula sebesar 2,900mAh dikatakan boleh menguasakan tontonan video sehingga 11 jam atau panggilan sehingga 23 jam. Malangnya, ia tidak disertakan pengecas pantas VOOC.

Untuk keselamatan yang jitu, OPPO A57 memiliki pengimbas capjari dibawah skrin depan, yang turut bertindak sebagai butang Home.

Setakat ini, masih belum ada harga rasmi untuk OPPO A57 di Malaysia. Tetapi ia telah dijual di India dengan harga INR14,990 (~RM1,031). Dua warna akan dijual di Malaysia iaitu Emas dan Emas Ros.

Pakar selfie dalam badan yang lebih kecil, berminat untuk memilikinya?

Trackbacks

  1. […] pintar terbaru dari OPPO secara percuma? Pakar selfie cilik terbaru, OPPO A57 yang baru sahaja diumumkan akan tiba oleh OPPO Malaysia, kini ditawarkan secara PERCUMA oleh […]

Apa komen anda?