Redmi 4X lebih perkasa muncul di Malaysia

Share Button

Mi Malaysia hari ini membuat satu pengumuman mengejutkan. Redmi 4X yang dilancarkan di China pada Februari lepas, akan tiba di Malaysia bulan ini. Ini satu pencapaian yang bagus, hanya dua bulan selepas pelancaran ia sudah boleh dibeli di Malaysia.

Redmi 4x bukanlah telefon pintar termurah Xiaomi, tetapi ia menerima naik taraf yang besar berbanding Redmi 4A yang berharga RM509. Harga jualannya di Malaysia adalah RM679, jadi apakah kelebihan Redmi 4X berbanding Redmi 4A? Agak banyak juga.

Skrin Redmi 4X masih sama, berukuran 5.0-inci dengan resolusi HD 720p. Tetapi kuasa penggeraknya dipertingkat. Redmi 4X dipasang pemproses Snapdragon 435 8-teras, 3GB RAM dan 32GB storan. Sudah pasti ia sedia menerima kad memori mikroSD, dalam slot hibrid yang menampung dua kad sim 4G LTE.

Kapasiti baterinya juga ditambah menjadi 4,100mAh, sama seperti Redmi Note 4. Tetapi badannya kekal sama besar & sama tebal dengan Redmi 4A. Selain itu, Redmi 4X juga ditambah pengimbas capjari di belakang.

Kamera Redmi 4X juga sedikit lebih baik, dengan sensor 13MP f/2.0 di belakang dan 5MP f/2.2 di depan.

Menurut Mi Malaysia, Redmi 4X akan mula dijual di seluruh Malaysia bermula Sabtu ini, 22 April 2017 pada harga RM679. Maklumat penuh tentang kedai yang menjual masih belum diberitahu.

Dua warna Redmi 4X akan boleh dibeli kelak, antara Emas dan Hitam. Kalau anda memerlukan telefon bersaiz kecil dengan prestasi pertengahan yang lengkap dan harga tidak melampau, Redmi 4X ini memang patut diletakkan di senarai teratas.

Info lanjut berkenaan telefon ini boleh dirujuk di laman produk Redmi 4X.

[SUMBER: Facebook Mi Malaysia]

Trackbacks

  1. […] sahaja semalam Mi Malaysia umum akan menjual Redmi 4X esok. Hari ini mereka umum satu lagi berita baik. Redmi Note 4 yang sudah pun dijual di Malaysia, akan […]

Apa komen anda?