Nikmati pelancongan dalam dan luar negara di Google Earth baru

Share Button

Apakah cara mudah untuk melihat bumi dari luar angkasa? Gunakan Google Earth!

Baru-baru ini Google mengumumkan Google Earth, dengan kemaskini pelbagai fungsi baru. Ia mengambil masa pembangunan selama dua tahun untuk disiapkan, memberi perspektif baru untuk melihat bumi dari jarak dekat mahupun sejauh luar angkasa.

Google Earth yang baru ini boleh dilihat menerusi pelayar web dan peranti Android. Sementara versi iOS akan tiba tidak lama lagi.

Apa perkara yang baru di dalam Google Earth baru ini?

Google menambah fungsi penceritaan yang dipanggil Voyager. Ia dijayakan dengan kerjasama saintis, penulis cerita dan NGO. Voyager ibarat pemandu pelancong, dalam bentuk digital dan sangat interaktif.

Atau buat lawatan secara rawak, semudah satu butang “I’m Feeling Luckily“. Fungsi baru ini akan membawa pengguna ke pelbagai lokasi rambang. Google menyediakan 20,000 lokasi yang pastinya memberi kejutan setiap kali mendarat.

Sebaik tiba di lokasi yang ingin dilawati, buka ‘Knowledge Card’ untuk pelajari tentang sejarah dan fakta-fakta mengenai tempat tersebut. Pelbagai gambar berkaitan turut disertakan. Selak kad-kad ini untuk menemui lokasi lain yang berkaitan.

Nampak lokasi yang menarik menerusi Google Earth? Kongsikan pandangan yang memukau ini kepada rakan dan keluarga menerusi fungsi Postcard. Mereka yang menerima perkongsian ini, akan terus dibawa ke pemandangan lokasi yang sama seperti anda lihat.

Akhir sekali, Google mahu anda menerokai budaya pelbagai kaum dengan kisah Voyager istimewa, ‘This is Home’. Ia adalah sebuah perjalanan interaktif merentasi rumah-rumah tradisional dari budaya berlainan di seluruh dunia. Seperti chuclla Peru, khemah Badwi dan llog Greenland. Lebih banyak kediaman akan diperkenalkan di masa akan datang.

Seronok bukan Google Earth yang baru ini? Jom menjelajah ke seluruh dunia. Usah risau tersesat jalan, kerana jalan pulang sentiasa terbuka luas di Google Earth.

[SUMBER: Blog Google]

Apa komen anda?