Mi 6 bukti peranti berkuasa tinggi mampu dimiliki ramai

Share Button

Dengan harga permulaan di bawah RM2,000, Xiaomi sekali lagi membuktikan telefon pintar dengan perkakas berkuasa tinggi boleh dimiliki orang ramai. Hari ini di Beijing, Xiaomi melancarkan telefon pintar flagship terbaru mereka, Mi 6.

Mi 6 adalah peranti pertama dikuasakan Snapdragon 835, yang dilancarkan di China. Dibina menggunakan proses 10nm, ia adalah pemproses paling bertenaga di pasaran kini. Selain Mi 6, telefon pintar lain yang menggunakan Snapdragon 835 adalah Samsung Galaxy S8 dan Sony Xperia XZ Premium. Dalam ujian AnTuTu ia berjaya mengumpul 184,292 markah, tertinggi untuk peranti Android.

Pemproses Snapdragon 835 memiliki 8-teras dengan kelajuan mencecah 2.45GHz. Ia dipadankan dengan pemproses grafik Adreno 540 yang turut menyokong API grafik Vulkan. Semua varian Mi 6 akan memiliki RAM LPDDR4 sebesar 6GB. Storan pula ditawarkan antara 64GB dan 128GB.

Mi 6 tampil dengan rupa serba baru. Badannya mengekalkan rekaan kaca belakang seperti Mi 5, tetapi kali ini ia melengkung di keempat-empat sisi. Ia turut diperteguh dengan bingkai besi tahan karat. Tiga warna Mi 6 disediakan iaitu Hitam, Putih dan Biru, dengan tambahan dua warna edisi istimewa, Perak dan Seramik.

Mi 6 kali ini juga tampil dengan kamera dwi-lensa, pertama dalam keluarga telefon pintar Xiaomi. Ia memiliki ciri yang sama seperti iPhone 7 Plus, iaitu lensa lebar f/1.8 dan lensa telefoto f/2.6 untuk zum optikal 2x. Kedua-dua lensa ini menggunakan sensor 12MP. Kamera ini turut ditambah penstabil imej optikal 4-paksi, memastikan tangkapan gambar dan video yang kekal stabil dan tahan gegaran. Kamera depan pula 8MP.

Skrin Mi 6 kekal berukuran 5.15-inci, menjadikannya sebuah peranti kompak berkuasa tinggi yang sukar ditemui sekarang. Skrin ini mempunyai resolusi HD Penuh 1920×1080. Paparan Mi 6 juga melindungi mata dari kesan cahaya biru, tetapi mampu mengekalkan warna skrin yang asli.

Seperti sebelumnya, Mi 6 tidak dilengkapi slot kad mikroSD. Dua slot kad sim yang terdapat padanya, menyokong rangkaian 4G LTE. Xiaomi juga kali ini, membuang port audio 3.5mm pada Mi 6. Satu langkah yang mungkin tidak digemari ramai. Tetapi kali ini, Mi 6 mempunyai sepasang speaker atas dan bawah, yang boleh menghasilkan bunyi stereo.

Mi 6 juga kalis percikan. Ia tidak boleh ditenggelamkan di dalam air, tetapi tiada masalah digunakan di dalam hujan renyai. Ia juga mempunyai fungsi NFC, Bluetooth 5.0, pemancar infra merah dan menggunakan sambungan USB-C untuk penghantaran data dan pengecasan.

Mi 6 menyokong pengecasan pantas Quick Charge 3.0 dan disertakan pengecas 18W. Baterinya berkapasiti 3,350mAh, terbesar dalam peranti bersaiz sepertinya. Dengan optimasi kuasa dalam MIUI, bateri Mi 6 dijangka boleh bertahan seharian.

Mi 6 akan mula dijual di China bermula 28 April 2017. Sebanyak tiga versi Mi 6 akan dijual, dengan harga seperti berikut:

  • Mi 6 6GB RAM, 64GB Storan – RMB2,499 (~RM1,596)
  • Mi 6 6GB RAM, 128GB Storan – RMB2,899 (~RM1,851)
  • Mi 6 6GB RAM, 128GB Edisi Seramik – RMB2,999 (~RM1,915)

Memang menarik Mi 6 yang berharga sangat rendah ini, jika dibandingkan dengan Galaxy S8 yang berharga RM3,299 di Malaysia. Hampir dua kali ganda lebih mahal dari model asas Mi 6.

Tahun lepas, Mi 5 mengambil masa 3 bulan dari tarikh pelancaran di Barcelona, untuk dijual di Malaysia. Berapa lama pula masa yang akan diambil oleh Mi 6 untuk tiba di Malaysia?

Apa komen anda?