HTC potong RM400 dari harga asal U Ultra

Share Button

Untuk menarik lebih minat orang ramai, HTC Malaysia hari ini mengumumkan pemotongan harga untuk telefon pintar utama terbaru mereka, HTC U Ultra. Mula dijual di Malaysia pada Mac lepas dengan harga RM2,999, ia kini akan dijual pada harga RM2,599 sahaja, pemotongan sebanyak RM400.

Menurut Pengurus HTC Malaysia, Cheong Wah Tong, langkah ini diambil selepas menerima maklum balas orang ramai yang berminat untuk memiliki HTC U Ultra, tetapi menangguhkan pembelian selepas melihat harganya. HTC mahu memberi peluang kepada lebih ramai peminat memilikinya, justeru membawa kepada langkah pemotongan harga ini.

Bagi mereka yang telah membeli HTC U Ultra sebelum 14 April 2017, HTC Malaysia akan memberikan hadiah eksklusif berupa kamera HTC Re dan hadiah premium HTC edisi terhad. Untuk mendapatkan hadiah ini, pembeli perlu mengemukakan bukti pembelian dan maklumat peribadi ke laman web HTC U Ultra Appreciation. Kemudian pilih untuk mengambil sendiri hadiah tersebut di Pusat Servis HTC terpilih, atau penghantaran terus ke lokasi pilihan.

Program hadiah eksklusif untuk pembeli awal HTC U Ultra sebelum 14 April 2017, hanya dibuka sehingga 12 Mei 2017. Jadi, pembeli awal perlu melengkapkan borang ini selewatnya 12 Mei 2017. Hadiah eksklusif ini akan dihantar berumula 12 Mei 2017.

HTC U Ultra adalah telefon pintar HTC dengan rekaan baru yang tidak lagi menggunakan besi. Port audio 3.5mm telah dibuang, dan ia direka simetri dengan kemasan seakan cecair di belakang. Satu perkara unik, HTC memperkenalkan skrin kedua di atas skrin utama, memaparkan notifikasi dan pelbagai pintasan.

Perkakas di dalam HTC U Ultra adalah seperti pemproses Snapdragon 821, 4GB RAM, 64GB storan dalaman bersama slot kad mikroSD, bateri 3,000mAh serta skrin QuadHD 5.7-inci. Kamera belakangnya 12MP f/1.8 dengan teknologi UltraPixel 2, manakala kamera depan 16MP.

Adakah dengan penurunan harga ini akan membuatkan anda ingin memiliki HTC U Ultra? Spesifikasi penuh dan maklumat lanjut boleh dirujuk di laman produk HTC U Ultra.

Trackbacks

  1. […] justifikasi untuk mengiyakan pelekat harga setinggi itu pada badannya, itupun selepas menerima potongan harga RM400 beberapa hari lalu mungkin terasa goyah dengan kehadiran Samsung Galaxy S8. Bukanlah nak nyatakan […]

Apa komen anda?